KALIMAH itu bukan kalimah biasa. Ia menjadi punca penciptaan semua makhluk terutama manusia dan jin. Ia adalah kalimah pengiktirafan bahawa ‘tiada tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah’.
Kalimah ini sudah diakui oleh manusia ketika mereka dikumpulkan Allah dalam alam ‘arwah lama’ sebelum mereka lahir ke dunia ertinya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (al-A’raf 7:172).
Kalimah yang sebaris ini juga menjadi punca dan sebab perjuangan semua Rasul semenjak zaman Nabi Adam. Firman Allah:
Ertinya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. Maka, dalam kalangan mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat yang mendustakan para rasulnya.” (al-Nahl 16:36).
Juga firman Allah ertinya: “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku.” (al-Anbiya’ 21:25).
Malah, Nabi Ibrahim a.s. juga berikrar penuh dalam hatinya untuk memperjuangkan kalimah tauhid ini walau apa sahaja rintangan yang dihadapinya:
Ertinya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah. “Yang lain daripada Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku. Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik).” (al-Zukhruf 43:26-28).
KEBAHAGIAAN HAKIKI
Subhanallah! Rupanya manusia yang berpegang teguh dengan kalimah ini akan mendapat kebahagiaan dalam tiga alam iaitu:
1- DUNIA
Walaupun dibuang serta diusir jauh oleh keluarganya, Nabi Ibrahim a.s. mendapat kelebihan duniawi yang sangat hebat kerana jasanya memperjuangkan kalimah ini.
Tiada nikmat dunia paling besar melainkan zuriat keturunan berpangkat nabi serta sebutan nama yang baik dalam kalangan seluruh manusia sepanjang zaman sehingga hari kiamat:
Firman Allah ertinya: “Maka apabila dia (Nabi Ibrahim) berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain daripada Allah, Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi. Dan Kami kurniakan kepada mereka rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.” (Maryam 19:49-50).
2 – ALAM BARZAKH
Pejuang kalimah tauhid juga mendapat peneguhan jiwa ketika disoal oleh malaikat sejurus melangkah ke alam barzakh (Sahih Muslim). Ia dijelaskan oleh firman Allah ini:
Ertinya: “Allah menetapkan (pendirian) orang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa dikehendaki-Nya.” (Ibrahim 14:27)
3 – AKHIRAT
Di akhirat pula, manusia yang sudah mengikrarkan kalimah tauhid sebagai matlamat hidupnya mendapat jaminan syurga (setelah dia bertaubat daripada segala dosanya sebelum meninggal dunia) sebagaimana sabda Rasulullah:
Ertinya: “Tiada seorang hamba (Allah) pun yang berkata (mengiktiraf serta menghayati kalimah) tiada tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah kemudian meninggal dunia atas keyakinan itu (di samping dia bertaubat sebelum mati), dia akan masuk syurga.” Aku (Abu Dhar r.a.) bertanya: “Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?” Rasulullah menjawab: “(Ya!) Walaupun dia pernah berzina dan mencuri.” Aku mengulangi lagi soalanku: “Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?” Rasulullah mengulangi jawapannya sebanyak tiga kali: “(Ya!) Walaupun dia pernah berzina dan mencuri.” – Sahih al-Bukhari dan Muslim
Justeru, marilah kita menjadikan kalimah tauhid ini sebagai matlamat hidup mati kita di dunia dan akhirat. Pun begitu, ia tidak semudah melafazkannya pada lidah, sebaliknya kita wajib menghayati kalimah tauhid ini sepenuh jiwa dengan mentaati segala arahan dan perintah Allah.
Juga meninggalkan segala larangan-Nya. Jika putih kata Allah, maka putihlah turutan kita. Apabila kalimah tauhid dijiwai sepenuhnya, maka hidup kita akan beroleh bahagia di tiga alam iaitu dunia, barzakh dan akhirat kelak.











