'Kalau dapat jodoh orang sekampung, aku berarak dengan traktor' - Utusan Malaysia

‘Kalau dapat jodoh orang sekampung, aku berarak dengan traktor’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 5 Feb. – Nazar mahu berarak dengan traktor ke rumah pengantin perempuan jika bertemu jodoh dengan wanita sekampung akhirnya berjaya ditunaikan seorang petani, di Kampung Gong Kulim, di sini sebelum bersanding, hari ini.

Lelaki terbabit, Mohd. Jaimanajid Zakaria, 37, berarak ke rumah Nik Zariza Izayu Mohd. Zulkifli, 22, sejauh satu kilometer bersama 14 traktor sebelum bersanding bersama pasangannya di atas jentera berat tersebut yang dihiasi indah seperti pelamin, kira-kira pukul 3.45 petang tadi.

Majlis persandingan mereka meriah dengan kehadiran kira-kira 500 tetamu terdiri daripada sanak-saudara, sahabat handai serta penduduk setempat.

Menurut Mohd. Jaimanajid, dia bersyukur bertemu jodoh dengan isteri yang merupakan wanita pilihan orang tuanya dan bagi menunaikan nazar yang pernah dibuat, dia mendapatkan bantuan rakan-rakan petani lain serta pemilik traktor di sekitar daerah ini.

“Kalau ditakdirkan dapat jodoh dengan orang sekampung saya akan berarak dengan traktor. Itu lafaz niat saya beberapa tahun lalu.

“Pada mulanya, saya bercadang menggunakan 20 traktor tapi hanya berjaya dapat 14 sahaja kerana enam lagi traktor rosak,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mohd. Jaimanajid yang merupakan pesawah padi dan pemilik traktor dalam pada itu berkata, sebagai kenangan-kenangan yang amat berharga pada masa depan, dia dan isteri turut menjalani sesi penggambaran fotografi berlatarkan sawah padi dan jentera bajak.

Majlis akad nikah kedua-dua mempelai itu disempurnakan pada 27 Januari lalu di rumah bapa pengantin perempuan, Mohd. Zulkifli Ku Chik, 53, yang lebih dikenali masyarakat sebagai Tok Raja Kulim.

Sementara itu, majlis menyambut menantu oleh keluarga pengantin lelaki pula dijadual berlangsung lusa di rumah Mohd. Jaimanajid yang terletak tidak jauh dari rumah Tok Raja Kulim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN