Kakitangan TNB maut motosikal rempuh kereta - Utusan Malaysia

Kakitangan TNB maut motosikal rempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di Kilometer 185.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Amirul Akmal Md. Taib, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda CBR dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki berumur 46 tahun telah mengubah laluan dari lorong kanan ke susur kiri hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban di sini.

“Mangsa yang berada di lorong kiri bagaimanapun gagal mengelak lalu merempuh kereta tersebut.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak kira-kira lima meter di tengah jalan dan mengalami pendarahan dalam kepala. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mayat telah dihantar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×