Kafe Selera Jemari mesra OKU - Utusan Malaysia

Kafe Selera Jemari mesra OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kafe Selera Jemari bukan sahaja menawarkan pelbagai juadah makanan yang lazat, tetapi pekerja yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) menjadikannya antara tarikan utama orang ramai di Putrajaya.

Terletak di aras dua Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kafe dibangunkan atas inisiatif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MDF) dengan kerjasama kementerian itu bertujuan membuka ruang pekerjaan kepada golongan OKU.

Menurut koordinator Kafe Selera Jemari, Amir Adam Malik, pihaknya ingin melatih golongan OKU agar lebih berdikari dan mempunyai keyakinan diri.

Katanya, terdapat lapan pekerja OKU terdiri daripada seorang cacat anggota manakala selebihnya adalah pekak.

“Kafe ini mula beroperasi pada Ogos tahun lalu dan sebelum dibuka kami terlebih dahulu memberikan latihan kepada pekerja daripada cara penyediaan makanan, mengambil tempahan pelanggan sehinggalah memasak.

“Mereka bukan sahaja mampu menyediakan dan memasak makanan, malah turut membeli bahan mentah di pasar dan berinteraksi dengan pelanggan,” katanya kepada Mega Rona.

Selain menawarkan menu tempatan, kafe itu juga menjual makanan ala Barat bagi memenuhi cita rasa pelanggan khususnya penjawat awam di sekitar Putrajaya.

Antara juadah yang disajikan adalah chicken chop, sup tulang dan kari kambing.

“Menu paling popular dan sentiasa mendapat tempahan pelanggan ialah mi kari kapitan dan soto,” ujarnya.

Katanya, sejak dibuka Kafe Selera Jemari yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 7 pagi sehingga 4 petang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang bukan sahaja warga Putrajaya, malah penduduk sekitar Lembah Klang.

“Kafe ini tutup pada Sabtu dan Ahad. Ia dibuka pada hari bekerja sahaja,” katanya yang memberitahu kafe itu juga menerima tempahan katering daripada kementerian.

Walaupun pekerjanya berstatus OKU, namun tidak wujud masalah komunikasi antara pelanggan dan pekerja kerana tanda bahasa isyarat ada dipamerkan bagi memudahkan pelanggan berinteraksi.

“Secara tidak langsung kita dapat mendidik masyarakat berkenaan bahasa isyarat dan cara berurusan dengan OKU.

“Boleh saya katakan usaha ini mampu mendedahkan kepada masyarakat bahawa OKU mampu pergi jauh seperti orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×