SEREMBAN 1 Feb. – Kerjasama erat antara polis dan masyarakat telah berjaya membantu usaha menurunkan kadar jenayah di negeri ini.
Bekas Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pencapaian prestasi amat membanggakan apabila petunjuk indeks jenayah sepanjang tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 7.4 peratus berbanding empat peratus pada 2017.
“Ia hasil pelbagai program kerjasama polis dan masyarakat antaranya Komuniti Kepolisan seperti OSCAR, Pemantauan Kejiranan, Skim Rondaan Sukarela (SRS) mahu pun Kepolisan Konvensional.
“Melalui program OSCAR, pegawai polis di peringkat akar umbi menemui pemimpin masyarakat termasuk pemimpin agama setiap malam Sabtu selama empat jam untuk mendengar segala masalah dan mendapatkan maklumat yang mempunyai kaitan dengan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) jabatan itu, Datin Seri Salasiah Bidin.
Pada majlis itu, Noor Azam yang memulakan perkhidmatan sebagai Ketua Polis negeri sejak 13 Julai 2017 menyerahkan tugas kepada Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamad Mat Yusop untuk memangku jawatan berkenaan.
Turut diadakan ialah majlis serah terima tugas Pengerusi Perkep negeri antara isteri Noor Azam, Datin Roshafiza Abd. Halim kepada isteri Mohamad, Datin Norlela Idris.
Kedua-dua majlis berkenaan telah disaksikan oleh Mohamad dan Salasiah.
Noor Azam turut melahirkan penghargaan kepada para pengamal media di negeri ini yang berperanan membantu polis menyebarkan maklumat dan kesedaran memerangi jenayah kepada masyarakat.
Noor Azam akan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Selangor mulai Isnin depan. – UTUSAN ONLINE











