KLANG – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di tepi jalan persimpangan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menuju Bandar Puteri di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bayi dianggarkan berusia sehari itu ditemui pukul 12 tengah hari oleh seorang penunggang motosikal berusia 29 tahun.
“Ketika ditemui, bayi tersebut dibaluti kain selimut dan masih bertali pusat serta dalam keadaan sihat dan bersih.
“Bayi itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan selanjutnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Shamsul menjelaskan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ibu bayi itu.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan,” katanya.- K! ONLINE










