PULAU PINANG 2 Feb. – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta kontraktor terlibat telah diminta untuk membersihkan saliran perparitan di kawasan Jalan Md. Taib dan Kampung Pokok Asam di Jelutong yang dilanda banjir kilat pada Rabu lalu.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, satu mesyuarat bersama JPS serta pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan selepas banjir kilat melanda kampung itu.
“JPS akan membersihkan saliran perparitan yang membawa air keluar dari kawasan itu ke Sungai Pinang.
“Pada masa yang sama juga kontraktor diminta pastikan pintu laluan air yang digunakan untuk mengawal saliran air masuk dan keluar ke laut di buka buat masa ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai masalah penduduk Jalan Md Taib dan Kampung Pokok Asam di Jelutong di sini yang disiarkan menerusi ruangan Rintihan Rakyat hari ini yang berdepan dengan masalah banjir kilat di kawasan itu.
Penduduk di kawasan itu mendakwa kawasan perumahan mereka dijadikan kawasan takungan air oleh pemaju perumahan mewah di situ.
Menurut Rayer beliau mengambil maklum mengenai aduan penduduk yang mendakwa masalah itu berpunca daripada pihak pemaju yang menambak jalan melebihi paras rumah penduduk.
“Saya akan beri perhatian kepada punca masalah yang dikatakan penduduk ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











