KUALA LUMPUR 17 Feb. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 32,725 saman selepas memeriksa 128,569 kenderaan sepanjang Operasi Penguatkuasaan Perayaan Tahun Baharu Cina (Op TBC) 2019 yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh dua minggu sehingga Selasa lalu.
JPJ dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah saman tahun ini mencatatkan penurunan berbanding 40,660 saman dikeluarkan daripada pemeriksaan 110,755 kenderaan menerusi operasi yang dilaksanakan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Ini menunjukkan kadar pematuhan peraturan dan undang-undang jalan raya semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
“Operasi ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keselesaan pengguna jalan raya pada musim perayaan selain memastikan undang-undang jalan raya sentiasa dipatuhi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 12,433 saman kesalahan utama manakala kesalahan di bawah operasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 8,632 saman.
Ujarnya, antara kesalahan lain yang menunjukkan pengeluaran saman tertinggi termasuk kenderaan melebihi muatan dengan 1,472 saman, gagal mematuhi isyarat lampu merah (565), tidak memakai tali pinggang keledar (541), memotong garisan berkembar (284), tidak memakai topi keledar (280) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (253).
Selain itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan sebanyak 14 kenderaan disita manakala 39 notis ingkar arahan larangan dikeluarkan sepanjang tempoh larangan penggunaan kenderaan barangan selama lima hari iaitu pada 2 hingga 4 Februari (sebelum cuti perayaan) dan 9 hingga 10 Februari (selepas cuti perayaan).
“JPJ juga menjalankan Op Khas Motosikal dengan kerjasama pelbagai agensi dan hasilnya, sebanyak 186 motosikal disita manakala 7,668 saman dikeluarkan yang mana kesalahan tertinggi dicatatkan adalah tiada lesen memandu (2,788) dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,751),” katanya










