JOHOR BAHRU 21 Feb. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengenal pasti kegiatan tonto di Batu Pahat dan Pengerang masih aktif dalam usaha menggagalkan penguatkuasaan dan tindakan diambil terhadap pengusaha lori yang melakukan kegiatan haram.
Timbalan Pengarahnya, Azmil Zainal Adnan berkata,, kegiatan tonto itu juga semakin sukar dikesan kerana sudah mengubah modus operandi mereka bagi mengelakkan daripada dihidu dan dikesan pihak berkuasa.
“Khidmat tonto masih aktif di kawasan terbabit disebabkan adanya kegiatan bauksit di Batu pahat dan pembangunan berskala besar di Pengerang. Daripada maklumat yang kita ada, jumlah mereka ini tidak begitu ramai dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi melakukan kegiatan mereka.
“Bagi memastikan peranan tonto ini dihapuskan, kita perlu memperkasakan bahagian risikan kita serta melakukan lebih banyak penyamaran untuk mematikan langkah mereka ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JPJ di sini hari ini.
Azmil berkata, pihaknya percaya kebanyakan tonto ini bukan kumpulan yang bergerak sendiri tetapi diupah oleh syarikat tertentu bagi memastikan mereka tidak dikesan pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE










