BENTONG 25 Feb. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak proaktif apabila memberikan bantuan segera kepada pasangan suami isteri, Mohamad Safuan Januri,28, dan Norliana Mat Isa, 25, bagi meringankan beban keluarga itu dalam meneruskan rawatan anak mereka yang mengalami masalah jantung.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, bagi meringankan beban keluarga tersebut JKM mengulurkan bantuan segera dan memproses bantuan bulanan kepada anak pasangan tersebut yang menghadapi masalah jantung.
“Pada Rabu minggu lalu pegawai JKM telah berkunjung ke rumah pesakit berkenaan di Taman Muhibbah di sini bagi melakukan siasatan dan susulan itu JKM telah menyerahkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada keluarga berkenaan.
“JKM juga akan memproses permohonan bulanan sebanyak RM350 di bawah Bantuan Pesakit Kronik terhadap keluarga itu bagi meringankan beban mereka,”katanya di sini, hari ini.
Rabu lalu Utusan Malaysia melaporkan sepasang suami isteri, Mohamad Safuan Januri,28, dan Norliana Mat Isa,25, resah memikirkan jalan untuk menyediakan perbelanjaan rawatan serta pemeriksaan susulan anak sulung mereka berusia enam tahun yang mengalami masalah jantung sejak kecil. – UTUSAN ONLINE










