Fasihah adalah salah seorang petugas di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Usianya pertengahan 20-an. Cantik dan sudah beberapa tahun berkhidmat di situ. Sebagai Control Room Assistant (CRA), tugas Fasihah ialah memantau ketibaan pesawat ke lapangan terbang tersebut.
Pejabat Fasihah di Terminal Dua, dan pada waktu rehat pukul 1 pagi itu, dia perlu ke Terminal Satu untuk bertemu dengan seorang sahabat bagi suatu urusan tugas. Selain itu, Fasihah juga mahu membeli barangan di sebuah kedai serbaneka.
Namun entah mengapa, dinihari itu terasa berbeza sekali. Perasaannya tidak tenteram. Untuk ke Terminal Satu, Fasihah perlu berjalan sejauh kira-kira 300 meter, atau sekitar 15 hingga 20 minit berjalan. Dia sudah biasa menggunakan laluan tersebut, terutama ketika bertugas giliran malam. Ia hanya sebuah kawasan lapang, tiada apa yang perlu digusarkan.

Tetapi dinihari itu Fasihah tiba-tiba berasa seram ketika melalui laluan tersebut. Ini kerana selepas pukul 1 pagi, khidmat skytrain sudah dihentikan. Ini menyebabkan laluan berkenaan lengang dan sunyi. Tiada sesiapa di sekelilingnya.
Hanya Fasihah seorang ketika itu dan dia dapat mendengar bunyi tapak kasut seseorang. Pantas Fasihah menoleh ke belakang, kerana berasa seperti diekori. Tiada sesiapa. Kosong dan lengang. Ah, hanya gema tapak kasutnya sahaja.
Pun begitu, kesunyian pada dinihari itu berlainan sekali. Ini membuatkan dada Fasihah berdebar. Bagaikan ada mata yang sedang memerhati setiap langkahnya. Seperti ia sedang bersembunyi dari belakang tiang serta dinding dan pada bila-bila masa saja akan memunculkan diri.
Entah mengapa dinihari itu hati kecilnya merasakan seperti ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang dia tidak pasti, tetapi debaran dadanya bagaikan memberi isyarat yang tidak menyenangkan. Akan tetapi Fasihah tetap tidak mengendahkannya.
“Kenapa nak bimbang, aku dah biasa ikut laluan ini. Ini mainan perasaan aje,” gadis itu cuba menenangkan perasaannya.
Fasihah memasang headset di bahagian telinga kanan, sekurang-kurangnya perjalanannya di laluan itu tidaklah berasa sunyi dan terlalu seram. Sambil mempercepatkan langkah, Fasihah menyebut-nyebut nama Allah untuk meredakan perasaannya.
“Ya Allah, mudah-mudahan tidak ada apa-apa yang berlaku atau menjelma di depanku. Hanya kepada-Mu tempat aku meminta perlindungan dan berserah,” doa Fasihah dalam hati. Dia terus melangkah, dan..
“Fasihah… Fasihah! Tolong… Tolong!”
TANGISAN
Fasihah tersentak apabila terdengar suara seorang wanita sayup-sayup memanggil namanya dan meminta pertolongan. Dia menoleh untuk mencari pemilik suara yang memanggilnya sebentar tadi namun si pemilik suara tidak kelihatan. Laluan itu lengang. Tiada sesiapa dilihat di sekelilingnya.
Namun apabila Fasihah memandang ke hadapan kembali untuk meneruskan langkahnya, dia tersentak. Lututnya lemah dan jantung bagaikan hendak tercabut apabila melihat sesusuk tubuh wanita berpakaian seragam baju lengan panjang putih dan seluar biru gelap sepertinya, sedang berdiri di hujung lorong di hadapannya. Wanita itu menundukkan kepala, rambutnya panjang mengurai ke hadapan menutupi muka.
Allahuakbar! Allahuakbar!
Langkah Fasihah serta-merta terhenti. Kakinya lemah. Nafas terasa sesak, darah berderau ke muka. Dadanya berdebar. Mata Fasihah terpaku memerhatikan wanita berambut panjang itu yang seperti sedang menunggu kedatangannya.
“Macam mana ni? Aku nak teruskan perjalanan ke tak eh? Dah separuh jalan ni. Aduh…” Fasihah buntu.
Kalau berpatah balik, Fasihah rasa bersalah kerana sudah berjanji dengan kawannya. Mereka ada tugas yang perlu dibereskan. Dia tidak boleh mungkir. Tapi kalau hendak diteruslan langkah, bermakna dia akan bertembung dengan wanita berambut panjang menutup muka, di hujung lorong sana. Dia tidak sanggup.
Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan? Fasihah bingung. Hendak menjerit meminta tolong, tiada sesiapa di laluan itu.
Tidak tahu sama ada masih mahu meneruskan perjalanan atau pulang sahaja ke pejabatnya, Fasihah menutup mata sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran yang dia ingat dalam keadaan menggigil, dengan harapan gangguan yang dialaminya sekarang ini akan hilang dengan segera.
Fasihah terus membaca, dan apabila merasakan perasaannya kembali tenang, dia membuka mata dengan perlahan. Susuk wanita yang berdiri di hujung lorong itu sudah hilang. Ghaib entah ke mana. Fasihah menarik nafas lega.
“Alhamdulillah…” Fasihah tersenyum.
Tetapi baru Fasihah mengorak beberapa langkah, kedengaran suara tangisan sayu seorang wanita bergema di belakangnya. Suara itu terasa begitu dekat. Langkah Fasihah terhenti. Dia tidak mempunyai keberanian untuk menoleh ke belakang. Pada ketika itu tiada apa yang bermain dalam mindanya kecuali jelmaan wanita berkenaan.
Itu suara tangisan wanita berseragam sepertinya dan berambut panjang di hujung lorong tadi? Adakah sekarang wanita itu berdiri di belakangnya dan mahu menunjukkan wajahnya yang sebenar? Kenapa dia menangis?
MENJERIT
Fikiran Fasihah makin buntu, nafasnya sudah tidak tentu arah, membuat jantungnya berdegup kencang dan dadanya turun naik dengan pantas. Kakinya kejang tidak mampu melangkah.
“Huhuuu… huhuuu… Fasihah, tolong aku. Aku sakit Fasihah… aku sakit. Kau tak nak tolong aku ke? Aku terseksa Fasihah… sampai hati kau tak nak tolong aku Fasihah…” Suara itu bergema cuba untuk meraih simpati dan perhatian Fasihah.
Tangisannya cukup hiba. Merintih dengan sedu-sedan yang amat sayu. Tapi, siapa wanita ini? Mengapa Fasihah yang dicarinya? Fasihah tidak sanggup untuk terus berdri di situ lebih lama. Sebelum terjadi perkara yang lebih menakutkan, dia perlu lari meninggalkan laluan ini.
“AAARRGGGHHH!!!” Fasihah menjerit ketakutan kerana sebelum sempat dia melangkah ke hadapan, tiba-tiba ada tangan menggenggam dan menarik kakinya yang mengakibatkan Fasihah terjatuh.
Dengan pantas Fasihah bangun dan berlari ketakutan kerana melihat wanita yang tadi berdiri di belakangnya, kini berada begitu dekat dan sedang merangkak untuk menghampirinya.
Akan tetapi, sebelum Fasihah dapat berlari jauh, langkahnya terhenti. Dia menjerit ketakutan sebelum rebah ke lantai kerana terkejut melihat wanita itu kini tiba-tiba sudah berdiri di hadapannya sambil menunjukkan wajah yang amat hodoh.
Pandangan Fasihah menjadi kabur. Wanita berwajah hodoh itu pula semakin hampir dan… !!! (Anisah, Beduk North Road, Singapura).
Apa yang berlaku seterusnya? Siapa wanita berambut panjang berdiri di hujung lorong itu? Jangan lupa dapatkan naskhah Mingguan Malaysia anda pada minggu hadapan.










