KUALA LUMPUR – JDT II melebarkan jurang di persada Liga Perdana setelah apabila menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, sebentar tadi.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Muhamad Rafie Mat Yaacob pada minit ke-10, sebelum pemain import dari Brazil, Bruno Gabriel Soares menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat, sembilan minit kemudian.
Satu lagi jaringan menerusi sepakan percuma Md. Rozaimi Abd. Rahman pada minit ke-44 menyaksikan skuad Harimau Selatan mengesahkan tiga mata penuh, sekali gus, melebarkan jurang kepada tiga mata selaku pendahulu selepas meraih 12 mata penuh daripada empat perlawanan liga setakat ini.
Dalam satu lagi aksi Liga Perdana, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkongsi satu mata selepas seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pemain import dari Jepun, Shunsuke Nakatake meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-31, sebelum jaringan pemain import dari Argentina, Julian Bottaro membantu Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada minit ke-67. – BERNAMA










