KOTA TINGGI 3 Feb. – Johor Corporation (JCorp) melancarkan konsep ekonomi pintar pertama di negara ini iaitu Cashless Estate dengan melaksanakan kemudahan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi penggunaan KA$H Card.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, KA$H Card itu merupakan satu instrumen pembayaran digital e-wallet yang lebih mudah dan selamat dilaksanakan menerusi Virtualflex Sdn. Bhd. (Virtualflex).
Menurutnya, pelaksanaan Cashless Estate itu bukan sahaja memudahkan pekerja ladang kerana tidak perlu menunggu lama untuk menerima gaji bulanan yang dibayar secara tunai, tetapi seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
“Buat masa ini, lebih 500 pekerja asig di ladang milik Kulim (Malaysia) Bhd. (Kulim) menggunakan konsep tersebut sebelum ia diperluaskan kepada ke semua estet milik syarikat menjelang suku kedua tahun ini,” katanya dalam majlis pembukaan kompleks penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kulim Agrotech Centre di sini sebentar tadi.
Tambahnya, tiga ladang Kulim yang mengguna pakai konsep itu ialah Ladang Sedenak, Ladang Mutiara dan Ladang Basir Ismail.
Beliau berkata, bagi mewujudkan Cashless Estate, Virtualflex membekalkan terminal Ka$h Card yang dipasang di ladang terlibat selain turut memberi bimbingan kepada pekerja ladang mengenai kaedah mengendalikan sistem E-Wallet sebagai satu kaedah pembayaran yang efisyen selain mengadakan taklimat mengenai kelebihan menggunakan kad tersebut. – UTUSAN ONLINE










