Jawatan MPKK di Kedah tidak kekal - Utusan Malaysia

Jawatan MPKK di Kedah tidak kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 24 Feb. – Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengganti atau menyingkirkan mereka yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekiranya melanggar syarat-syarat ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, individu yang dilantik terutamanya sebagai ketua dan setiausaha MPKK perlu ingat bahawa jawatan itu tidak kekal, sebaliknya boleh ditukar dengan orang lain pada bila-bila masa.

Menurutnya, jika didapati ada di antara mereka hilang kepercayaan, hilang kelayakan atau tidak sesuai dengan kehendak masyarakat setempat, maka pelantikan mereka boleh ditarik balik dan diganti dengan yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lantikan ke jawatan-jawatan ini berserta dengan tanggungjawab yang besar dan amanah yang harus digalas dengan ikhlas, selagi perkara itu dijunjung dengan elok tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Malah, terdapat 12 syarat perlu mereka patuhi, kalau ada salah satu tak dipatuhi dan kita rasa sesuai ditukarkan maka kita akan lakukan pertukaran kerana bidang kuasa itu terletak di bawah kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Program Bersama Pemimpin sempena Kursus Induksi MPKK negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Beliau mengulas isu penduduk setempat di beberapa buah negeri lain yang tidak berpuas hati atau menerima pengerusi MPKK yang dilantik di kawasan masing-masing atas pelbagai faktor.

Sementara itu, ujar Mukhriz, Kedah kini dianggotai kira-kira 171,704 orang ahli MPKK yang akan menjadi ejen pembangunan atau wakil kerajaan yang perlu sentiasa bertindak memberi penerangan serta maklumat tepat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Rina berkata, proses pelantikan kesemua MPKK yang membabitkan 17,000 kampung di seluruh negara akan selesai pada Mac ini.

“Kementerian ketika ini menerima senarai-senarai calon daripada kerajaan negeri untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam MPKK di kawasan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya kerajaan negeri akan memilih calon yang terbaik untuk memastikan kepemimpinan MPKK menjadi lebih cekap bagi mentadbir urus kampung dan komuniti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×