Jangan sesuka hati berjanji - Utusan Malaysia

Jangan sesuka hati berjanji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUHU kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang genap seminggu hari ini semakin membahang bukan sahaja dengan suhu mencecah 34 darjah Celcius, malah, dengan janji calon untuk menyelesaikan isu rakyat di kawasan itu serta-merta.

Mungkin terdesak atau benar-benar ikhlas, itu ungkapan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, di hadapan penduduk di Batu 26, Beranang, semalam.

Sama ada tidak sedar atau belajar daripada kesilapan pemimpin senior PH yang lain semasa PIlihan Raya Umum Ke-14 lalu, Aiman perlu ingat jangan sampai rakyat menghukum buat kesekian kalinya.

‘Kalau terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa’. Jangan nanti akhirnya keluar pula cerita ‘Aiman tak kisah’ kalau sudah menang nanti.

Penduduk Semenyih sila tuntut janji ini:

1. Masalah kekerapan ketiadaan air akibat paip lama sering rosak dan tidak ditukar ganti di Kampung Sentosa.

2. Jalan tidak berturap sepanjang lebih 500 meter di lorong Datuk Dagang Hj. Tahir, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

3. Derita penduduk yang terpaksa menghidu habuk dan debu daripada kilang industri yang dibina di hadapan rumah di lorong Datuk Dagang Hj. Tahir, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

4. Deretan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Kesuma 3/7, Bandar Tasik Kesuma yang kelihatan usang dan seolah-olah terbengkalai menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di sekitar kawasan itu.

5. Terminal Bas Semenyih Sentral yang terbengkalai.

6. Pembinaan Hospital Semenyih kerana kepadatan penduduk dan Klinik Kesihatan yang sering sesak selain Hospital Kajang yang terdekat juga tidak munasabah untuk menampung jumlah pesakit di kawasan Parlimen Hulu Langat.

Cukup enam isu dan masalah untuk Aiman ingat. Kalau letak banyak-banyak pun takut Aiman lupa.

Aiman pula jangan sibuk siasat, ‘Oh.. Projek itu sejak daripada zaman BN’, masalahnya sepanjang 10 tahun PH memerintah Selangor duduk diam sahaja kah?

Bukan apa, kalau janji tangguh dan mansuh hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun boleh jadi PTPTIPU, apakan pula setakat masalah rakyat biasa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN