KUALA LUMPUR 24 Feb. – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa menyifatkan tindakan Yusri Che yang dilihat cuba menyalahkan badan induk negeri itu dalam pemilihan pemain import sebagai langkah kurang tepat.
Nokman berkata Yusri tidak sepatutnya bertindak sedemikian sebaliknya sebagai jurulatih Kuala Lumpur dia perlu menerima hakikat bahawa skuad The City Boys sehingga kini masih gagal menamatkan kemarau kemenangan apabila tewas tiga kali berturut-turut dalam perlawanan Liga Super.
“Sebagai jurulatih, dia tidak perlu merungut. Sepatutnya semasa kami mengambil pemain import dari Jepun, Ryutaro (Karube) dia boleh tolak sebab dia ada masa itu. Kalau tidak mahu cakap awal-awal. Selesai.
“Macam Luke (Woodland) dia minta dan kami ambil. Kami bincang terus pasal gaji dan dapat murah. Alhamdulillah, tiada masalah. Jangan apabila kalah buat kenyataan (macam ini). Dia kena terima hakikat.
“Apabila sudah kalah kita kena bangkit. Saya tengok corak permainan pasukan meningkat dan setiap perlawanan kita bermain dengan baik. Cuma ada kesilapan, itu sahaja dan dia kena latih semula pemainnya.
“Dia tidak boleh cakap ini bukan pilihan saya. Susah kalau macam itu. Dulu masa Fabio (Maciel) ambil pemain tiada masalah. Ini baru tiga perlawanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Yusri berkata daripada lima import hanya Woodland sahaja yang menjadi pilihannya sedangkan empat lagi telah ditentukan pihak pengurusan dan lebih memburukkan keadaan Kuala Lumpur berada di kedudukan tercorot Liga Super selepas tiga perlawanan tanpa sebarang kutipan mata.
Dalam pada itu, Nokman tidak menolak KLFA akan mengambil import baharu menjelang pasaran perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada 2 hingga 29 Mei ini.
“Memang dalam perancangan untuk mengikut pilihan jurulatih tetapi tengok keadaan dahulu. Saya pun dah cakap dengan Yusri bagaimanapun saya tidak mahu buang import macam itu sahaja kerana proses untuk mendapatkan ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










