HULU LANGAT 24 Feb. – Semua pihak dinasihatkan tidak melampau dan rigid terhadap tindakan ‘pemberian’ parti-parti politik pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain PH, pihak Barisan Nasional (BN) juga ada mengadakan majlis yang menyediakan sambutan dan hidangan.
Katanya, hal demikian (pemberian) juga bukan merupakan satu masalah besar.
“Saya fikir, jangan terlalu melampau. Saya tak fikir faktor itu (melanggar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)). Saya fikir, mereka sebelah sana pun ada majlis, buat siap-siap. Itu kita tak nak complaint (mengadu).
“Its quite normal (Ia agak biasa). Bahasalah (budi bahasa). Kalau saya datang sini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mesti layan saya, ada teh tarik. Bukan nak bagi duit RM10, RM100. Jangan sampai ke tahap itu lah. Saya tak fikir itu satu masalah besar,” ujarnya.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PH yang didakwa melanggar peraturan SPR kerana mengedar bubur lambuk pada satu majlis sembang santai di Masjid Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi Lama, Jumaat lalu.
Dikatakan, pada setiap pek bubur lambuk yang diedarkan menggunakan pelekat yang tertera perkataan Pakatan Harapan. – UTUSAN ONLINE










