Jalan sukar menanti United - Utusan Malaysia

Jalan sukar menanti United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER – Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukan bimbingannya bakal berdepan tugas yang amat berat untuk menjulang gelaran Piala FA musim ini ketika mereka sedang membuat persediaan berdepan Chelsea pada aksi pusingan kelima awal pagi esok.

Bagaimanapun, beliau percaya dengan kemampuan para pemainnya sambil mengingat kembali saat beliau bergelar pemain ketika United menjulang gelaran trebel pada musim 1999 apabila mereka juga berdepan cabaran yang sama.

“Pada 1999, kami menewaskan Chelsea di Stamford Bridge untuk mara ke final. Sebelum itu, kami juga menewaskan Arsenal dan Liverpool.

“Kami berdepan kesukaran ketika itu dan kali ini kami akan sekali lagi berdepan cabaran yang sama jika mahu ke final. Saya sangat teruja untuk menyaksikan apa yang mampu dilakukan oleh pasukan ini,” katanya.

United bakal turun tanpa khidmat dua tonggak utama mereka, Anthony Martial dan Jesse Lingard yang mengalami kecederaan otot ketika turun menentang Paris Saint-Germain pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Rabu lalu.

Solskjaer mengakui, mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan Chelsea biarpun pasukan itu berdepan dua kekalahan meme­ritkan iaitu tewas kepada Bournemouth 0-4 serta dibelasah Manchester City 0-6 minggu lalu.

“Saya melihat aksi mereka menentang City dan skuad bimbingan Pep Guardiola sangat tajam di hadapan gawang lawan. Namun, City memiliki pemain yang hebat, begitu juga Chelsea.

“Chelsea memiliki peluang menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama menentang City begitu juga ketika mereka tewas kepada Bournemouth.

“Dalam perlawanan seperti ini, hanya beberapa perkara kecil sahaja yang akan menentukan keputusan perlawanan. Chelsea mungkin tidak begitu konsisten tetapi mereka adalah sebuah pasukan yang sukar untuk ditentang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN