KUALA LUMPUR 25 Feb. – Jabatan Peguam Negara didesak untuk membuat pendakwaan terhadap individu yang menghina institusi Islam dan Nabi Muhamad SAW.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, Peguam Negara juga perlu serius menangani isu tersebut demi menjaga kesucian agama Islam dan sensitiviti penganutnya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Tindakan polis membebaskan Foo Sing Wei (atas jaminan polis) misalnya, selepas ditahan kerana memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan umat Islam negara ini.
“Tindakan yang adil dan tegas perlu diambil oleh Peguam Negara ke atas mana-mana individu yang sengaja melakukan penghinaan ke atas agama dan Rasulullah kerana provokasi itu boleh menggugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










