JOHOR BAHRU – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menafikan wabak tangisan ketika gimik Majlis Pelancaran Hala Tuju kementerian itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor semalam sebagai lakonan.
Datuk Salahuddin Ayub mengakui gimik yang dilakukan itu adalah idea bersama pegawai di kementerian itu betul-betul menyentuh jiwanya berikutan dia membesar daripada keluarga petani.
“Setiap program ada gimik, saya terangkan saya bekas petani, orang kampung Tanjung Piai, Pontian dan saya tahu susah mereka itu sedikit pengaruhi jiwa saya.
“Kebetulan bila Pakatan Harapan (PH) menang saya jadi menteri pertanian, memang gimik idea kita bersama bila ditayangkan nampak betul mcm filem bermutu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas ada sesetengah pihak mendakwa gimik tersebut adalah lakonan semata-mata bagi meraih simpati rakyat di negara ini.
Dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju MOA itu, Salahuddin menangis teresak-esak ketika membacakan surat daripada seorang pesawah Ibas Hamud, 77, di atas pentas.
Salahuddin mula menangis setelah membaca beberapa baris pertama surat tersebut yang antara lain menegur kementeriannya yang dianggap melupakan kebajikan para petani, pesawah, peneroka dan nelayan di negara ini.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, dia menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana kebenaran emosi yang diluahkan pada majlis tersebut.
Jelasnya, apa yang penting adalah fokus menerajui MOA bagi memberi keutamaan kepada petani dan nelayan yang tergolong dalam B40. – K! ONLINE.










