ABU DHABI 2 Feb. – Felix Sanchez percaya, kejayaan Qatar menjulang Piala Asia buat kali pertama memberi isyarat terbaik kepada pencabar mereka menjelang Piala Dunia 2022.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu menegaskan, skuad Al-Annabi membuktikan mereka sememangnya layak menjadi tuan rumah Piala Dunia kerana bukan sahaja berkemampuan daripada segi kewangan, malah memiliki skuad bola sepak yang mampu memberi cabaran serius.
Semalam, Qatar mengetepikan segala kesukaran dihadapi sepanjang beraksi dalam suasana penuh ‘konflik’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila mengejutkan juara empat kali, Jepun di Stadium Bandar Sukan Zayed.
“Hari ini, kami memahat sejarah buat negara kami, ia detik yang amat membanggakan.
“Ini, adalah langkah terakhir menuju 2022. Ia membuktikan kami cukup bersedia mewakili Qatar untuk menjadi pasukan yang kompetitif dalam Piala Dunia,” katanya.
Sanchez juga menegaskan, dia langsung tidak terkesan dengan spekulasi Qatar bakal menggantikannya dengan jurulatih lain menjelang Piala Dunia, yang mana nama bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger antara yang menjadi sebutan.
“Saya hanya mahu memikirkan tentang sejarah yang kami lakar. Siapa bakal gantikan saya itu bukan masalah saya, tanggungjawab saya adalah menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya lagi.
Lebih manis lagi, penyerang sensasi Qatar, Almoez Ali turut diumum sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selepas memahat rekod Piala Asia dengan muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan menerusi sembilan gol.
Almoez mencuri tumpuan dalam final semalam apabila meledak gol pembukaan menerusi aksi akrobatik.
Dua lagi jaringan skuad Al-Anabi disempurnakan oleh Abdulaziz Hatem dan Akram Afif menerusi sepakan penalti manakala gol saguhati Jepun diperoleh menerusi Takumi Minamino. – AGENSI










