PULAU PINANG 24 Feb. – Umat Islam di negeri ini terus bersatu dalam melahirkan rasa bimbang terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab menghina agama Islam.
Terbaru, lebih 100 umat Islam termasuk daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) petang tadi berhimpun secara aman di kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sri Mutiara di sini.
Kehadiran mereka kira-kira pukul 5.30 petang tadi bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berhubung penghinaan Nabi Muhammad SAW di dalam media sosial.
Menurut Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad memorandum itu mengandungi lima tuntutan dengan harapan Abdul Rahman membawa isu penghinaan terhadap Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan Islam kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu akan datang untuk dibincangkan.
Selain itu, katanya, tuntutan tersebut juga bertujuan supaya Abdul Rahman menyampaikan desakan umat Islam Pulau Pinang supaya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis bertindak lebih agresif dan proaktif dengan menahan mereka yang membuat penghinaan tersebut.
“Selain itu, kami berharap Abdul Rahman dapat mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman berat serta tidak diberikan keampunan kepada mereka yang membuat penghinaan terhadap Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan Islam.
“Ia bagi memberi teladan kepada rakyat supaya tidak sesekali menghina agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan aman tersebut.
Memorandum itu diterima Setiausaha Sulit Abdul Rahman, Mohd. Abdul Rahman Ismail.
Tambah Azdy, memorandum itu turut menuntut supaya Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan supaya memperketatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan menghina Islam.
Sekiranya perlu, tambah beliau, pihak mahu undang-undang khas berkaitan penghinaan terhadap agama Islam digubal sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama Persekutuan.
“Tuntutan terakhir kami adalah memohon Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan supaya menggantikan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana beliau gagal menjalankan tugas dengan telus, adil dan saksama.
“Integriti dan kemampuan beliau juga diragui apabila gagal menangani kes berkaitan penghinaan terhadap Islam dengan efektif,” katanya. – UTUSAN ONLINE










