Isu pencen atlet akan diperhalusi - Utusan Malaysia

Isu pencen atlet akan diperhalusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memperhalusi isu penting seperti skim pencen atlet yang hanya boleh dinikmati oleh pemenang pingat Olimpik berban­ding sukan lain biarpun mempunyai juara dunia.

Sebelum ini, terdapat cadangan dalam kalangan komuniti sukan negara agar atlet yang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dan bergelar juara dunia, namun, acara mereka tidak dipertan­dingkan pada Sukan Olimpik turut dipertimbangkan me­raih pencen.

Ketika ini, pencen hanya diberikan kepada atlet negara yang meraih podium pada Olimpik atau Paralimpik menerusi Skim Imbuhan Tetap Olimpik dan Paralimpik (SITO). Pemenang emas Olim­pik akan mendapat elaun bulanan berjumlah RM5,000, perak RM3,000, manakala gangsa RM2,000 yang diterima sepanjang hayat.

Kata Syed Saddiq, semua isu berkenaan akan diperhalusi satu demi satu dalam masa sama bakal mengemukakannya kepada Kabinet sewaktu mesyuarat, Rabu ini.

“Antara yang akan saya kemukakan untuk perhatian kabinet adalah berkaitan skim perlindungan atlet dan bekas atlet bagi memastikan segala sumbangan mereka sentiasa dihargai negara.

“Dalam masa sama, saya ingin cadangkan pusat atlet yang akan menjadi tempat memastikan peluang pekerjaan buat bekas atlet sentiasa ada, perkara-perkara lain (skim pencen) juga akan dikemukakan kepada Kabinet,” katanya selepas merasmikan Akademi Berbasikal Josiah Ng di sini, hari ini.

Akademi itu akan menjadi platform sukan berbasikal elektronik yang pertama ditubuhkan di Malaysia dengan fokus mengenal pasti bakat-bakat baharu di seluruh negara.

Kata Josiah, buat permulaan, mereka akan bekerjasama dengan kementerian untuk membawa masuk platform itu di lapan sekolah sekitar Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN