KLANG – Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah di sini akan dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat sebagai langkah keselamatan mengelakkan kejadian tidak diingini seperti penemuan patung berhala.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pihaknya akan mendapatkan peruntukan segera bagi memasang alat berkenaan bagi mengesan mana-mana individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab terhadap surau tersebut.
“Pemasangan itu adalah hasil perbincangan bersama ahli jawatankuasa surau dan kariah di sini hari ini.
“Esok, saya akan mengemukakan pemohonan ini kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), jika diluluskan Selasa atau Rabu ini mungkin kita sudah boleh pasang alat ini. Namun jika tidak mendapat kelulusan saya akan menggunakan peruntukan sendiri,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Charles berkata, selain pemasangan CCTV, pihaknya akan mengadakan satu program berbentuk perpaduan di kawasan berkenaan pada April ini bagi mengeratkan silaturahim dikalangan penduduk sekitar.
Sementara itu, Pengerusi Surau Sabilul Huda, Idris Mazlan, 64, berkata, pihaknya menyambut baik usaha Charles yang akan membantu peruntukan segera kepada surau berkenaan untuk memasang CCTV.
“Saya juga meminta masyarakat supaya tidak memviralkan isu ini lagi, bagi mengelakkan berlakunya ketegangan antara kaum. Biar pihak berkuasa siasat dan selesaikan isu ini dan kita jangan ambil tindakan sendiri,” tegasnya.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, kariah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini sekali lagi digemparkan dengan penemuan dua buah patung berhala yang diletakkan di atas pagar utama pintu masuk surau berkenaan.
Dua patung berhala itu ditemui oleh kariah surau kira-kira pukul 2.45 petang sebelum dimaklumkan kepada ahli jawatan kuasa (AJK) surau berkenaan.
Penemuan dua patung itu adalah kejadian kali kedua selepas penemuan pertama pada Rabu lalu di surau berkenaan. – K! ONLINE










