SHAH ALAM – Saksi ke-14 prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tumbukan atau tendangan boleh menjadi punca tulang rusuk anggota bomba itu patah.
Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Mohamed Ezani Md. Taib berkata, beliau melihat mangsa tidak dapat bertahan lama berdasarkan pemerhatian kali pertamanya melihat keadaan Muhammad Adib.
“Saya hanya nampak dia mengalami kecederaan dialami pada rusuk kanannya.
“Berdasarkan kecederaan itu, ia berkemungkinan besar daripada objek keras,” katanya ketika menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga, Yahaya Othman.
Berikut sedikit sesi soal jawab melibatkan Dr. Mohamed Ezani dengan Yahaya.
Yahaya : Tadi kata, ada objek keras kena pada pada dada, objek keras merujuk kepada apa?
Dr. Mohamed Ezani : Tulang bukan objek keras, jika ia sekadar pukulan atau tamparan biasa tidak mungkin (rusuk patah).
Yahaya : Maksudnya ada pressure (tekanan) daripada objek keras?
Dr. Mohamed Ezani : Ya
Yahaya : Adakah tumbukan atau tendangan itu boleh jadi objek keras?
Dr. Mohamed Ezani : Sukar untuk dikatakan tetapi mungkin boleh berlaku.
Yahaya : satu, dua tumbukan?
Dr. Mohamed Ezani : Ya jika tekanan mencukupi.
Terdahulu, Dr. Mohamed Ezani menjadi saksi ke-14 pada hari kesembilan prosiding inkues dihadapan Koroner Rofiah Mohamad sebentar tadi. – K! ONLINE










