ALOR SETAR 9 Feb. – Pas tidak terkejut sekiranya barisan menteri Kabinet dan timbalan mereka yang dilantik tidak mampu melaksanakan tugas dengan efektif berikutan kini didakwa memiliki latar belakang pendidikan meragukan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (gambar) berkata, faktor tersebut disebabkan wakil-wakil rakyat dan senator yang diangkat memegang portfolio tertentu kurang berpengetahuan dan tidak berkemahiran dalam bidang masing-masing.
“Isu ijazah palsu dalam kalangan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berlegar dalam media amat memalukan.
“Dakwaan itu sebenarnya memberi kesan kepada integriti barisan Kabinet dan menjadi bahan

jenaka dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini didesak pelbagai pihak untuk melepaskan jawatannya selepas didakwa menipu kelayakan akademik.
Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin berkata, perkara itu secara umum memberi isyarat negatif kepada masyarakat betapa ahli-ahli politik begitu mudah memanipulasi teknologi untuk kepentingan peribadi dan politik kepartian.
Ujar beliau, rakyat akan menjadi muak dan bosan dengan gelagat ahli-ahli politik seperti itu yang akhirnya tidak akan mempedulikan senario politik tanah air.
“Apa tidaknya, seseorang pemimpin dikatakan memegang ijazah dari sesebuah universiti, tetapi hakikat adalah sebaliknya. Alahai apa nak jadi Malaysia Baharu, manifesto belum tertunai, timbul pula dakwaan ijazah palsu,” soalnya lagi.










