Benarlah kata pepatah kasih ibu membawa ke syurga.
Di saat awal kehamilan lagi, anak yang dikandung sudah dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh sehingga tiba detik untuk melahirkan.
Sakit dan perit saat melahirkan tidak pernah dihiraukan. Tangisan pertama bayi itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana anak yang lahir itu cukup sempurna sifatnya.
Tentunya zuriat yang baru menjenguk dunia itu diharapkan dapat menjadi penyambung keturunan sekali gus mampu menjaga kedua ibu bapanya kelak.
Namun, saat manusia merancang, lain pula ketentuan Tuhan.
Siapa sangka anak yang dilahirkan itu ‘bakal’ menjadi anak istimewa yang memerlukan perhatian dan jagaan ibu bapa sehingga akhir hayatnya.
Demikian cabaran yang dilalui seorang ibu tunggal, Rosidah Talib, 55, yang tabah menjaga putera sulungnya yang menghidap Celebral Palsy (CP) sejak 24 tahun lalu.
Anak sulung daripada lima beradik itu, Mohd. Amin Najmuddin Safar, 24, dilahirkan normal dan menjadi penyeri rumah tangga Rosidah dan arwah suaminya, Safar Jusoh.

Namun, takdir sudah tertulis, ketika usianya menginjak tiga bulan dia ditimpa kemalangan yang tidak disengajakan sehingga berlakunya pendarahan otak.
“Pada ketika itu Amin sudah pandai meniarap dan entah bagaimana dia boleh terjatuh semasa di bawah jagaan pengasuh,” katanya.
Namun, Rosidah tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana faham semua yang berlaku itu adalah takdir.
Begitupun, hatinya luluh apabila doktor mengesahkan Mohd. Amin mengalami pendarahan otak yang serius sehingga menyebabkan gangguan saraf kepada tubuhnya.
“Kata doktor, anak saya ini tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain,” luah ibu tua ini dengan sebak.
Raut wajahnya jelas kelihatan sayu ketika ditemui S2 di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi Rosidah, dunia terasa gelap seketika tatkala berita itu sampai ke telinganya dan sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa anak kesayangannya akan sengsara seumur hidup.
Hatinya kerap tersentuh melihat kanak-kanak lain seusia anaknya berlari-lari dan bermain dengan riang manakala Mohd. Amin hanya mampu terbaring dan memandang dari jauh sahaja.
Namun, perlahan-lahan takdir Allah itu dijalani dengan penuh sabar dan tabah. Rosidah bangkit kerana anak ‘syurga’ itu memerlukannya untuk meneruskan hidup.
Menceritakan pengalaman menjaga anak istimewa, Rosidah mengakui sifat sabar, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit sangat diperlukan.
Malah, anak yang sudah dewasa itu tetap didukung sama seperti sewaktu kecil untuk bergerak ke mana-mana menggunakan kudrat tuanya. “Selepas ayahnya meninggal tiga tahun lalu, tanggungjawab ini digalas sepenuhnya oleh saya memandangkan anak-anak lain mempunyai kerja masing-masing dan ada yang masih belajar.
“Saya masih dukung Mohd. Amin untuk ke mana-mana sama ada ke bilik air atau ke hospital ketika dia sakit atau diserang sawan. Saya akan dukung dia sama seperti saya dukung anak kecil,” katanya dengan tenang.
Walau bagaimana pun Rosidah berkata, dia tidak menganggap perkara itu sebagai satu beban kerana kasih sayang yang melimpah melebihi segala-galanya.

Masih ramai yang prihatin
Biar pun liku-liku hidup yang dilalui kadang kala terasa berat, Rosidah bersyukur kerana masih ada insan yang sudi menghulurkan bantuan di kala memerlukan.
Pekerjaannya sebagai guru agama di sebuah sekolah rendah agama menyebabkan dia terpaksa meninggalkan Mohd. Amin bersendirian di rumah buat seketika.
Namun, dia beruntung kerana mempunyai jiran yang prihatin dan sanggup menjenguk keadaan anaknya tatkala dia keluar bekerja.
“Saya selalu bimbang kerana terpaksa tinggalkan dia di rumah seorang diri ketika keluar bekerja. Saya akan balik setiap kali waktu rehat untuk menjenguknya dan memberikan susu kepadanya.
“Nasib baik ada jiran sebelah yang boleh tengok-tengokkan dia sementara saya tiada di rumah,” katanya.
Selain itu, bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal banyak membantunya menyediakan perubatan dan barang-barang keperluan anaknya seperti susu formula dan lampin pakai buang.










