Hutang masih trilion - Utusan Malaysia

Hutang masih trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Selepas sembilan bulan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mampu mengurangkan hutang negara pada kadar minimum.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pihaknya berjaya mengurangkan hutang negara daripada angka sebelum ini iaitu RM1.087 trilion.

“Kami telah berjaya mengurangkan angka hutang, biar saya mendapatkan butiran lanjut terlebih dahulu tapi ia masih di peringkat trilion ringgit,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Menara UOA di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Novasi Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) antara Prasarana, MRCB-George Kent Sdn. Bhd. (MRCB-GK) dan Kontraktor Pakej Kerja.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dan Pengarah George Kent, Datuk Keizrul Abdullah.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd. Imran Mohamad Salim dan Pengerusi MRCB-GK, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Timbalan Presiden PH berkata, jumlah hutang di peringkat trilion itu termasuk liabiliti yang perlu dibayar kerajaan sebagai penjamin.

“Jika kita lihat di bawah definisi rasmi Tabung Kewa­ngan Antarabangsa, kerajaan sebagai peminjam langsung jadi kita terpaksa membayar kerana kita adalah penjamin.

“Ini kerana peminjam utama tidak dapat membayar, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan contoh terbaik,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, Guan Eng memberitahu, hutang Negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.

Katanya, dari jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang Kerajaan Persekutuan bersamaan 50.8 peratus dari KDNK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×