Hutang Felda RM8 bilion propaganda PH dibuktikan fitnah - Najib - Utusan Malaysia

Hutang Felda RM8 bilion propaganda PH dibuktikan fitnah – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lega apabila satu laporan akhbar berbahasa Inggeris tempatan menjelaskan kebanyakan hutang RM8 bilion yang ditanggung Felda sebenarnya dipinjamkan kepada peneroka.

Kata Najib, laporan itu sekali gus menepis tuduhan seolah-olah wang tersebut telah diselewengkan atau diberi kepada kroni.

Tambahnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau beberapa kali menjelaskan bahawa kebanyakan hutang RM8 bilion yang ditanggung oleh Felda itu sebenarnya dipinjam kepada peneroka.

“Alhamdulillah. Kebenaran muncul lagi pagi ini. Satu lagi propaganda Pakatan Harapan (PH) dibuktikan sebagai fitnah.

“Felda pinjam dengan kadar murah, untuk meminjam dengan kadar murah kepada peneroka untuk keperluan penanaman semula, pembinaan atau pembesaran rumah dan pendidikan anak-anak mereka,” kata Najib dalam laman Facebook beliau hari ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dalam laporan tersebut yang kini berusaha menyelesaikan hutang-hutang tersebut.

Kata Najib, maka terbuktilah beliau tidak berbohong tetapi PH sering memetik hutang Felda sebagai RM8 bilion untuk membuat tuduhan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Minggu lepas juga, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba-tiba petik nama Allahyarham ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) untuk menyerang saya mengenai hutang RM8 bilion Felda ini, seolah-olah wang ini telah disonglap, diseleweng, dibazir atau diberi kepada kroni.

“Ya, betul. Kroni saya adalah peneroka Felda. Kalau saya telah salah untuk menjaga ratusan ribu kroni ini, maka dakwalah saya lagi,” kata Najib,

Beliau turut mencabar Mohamed Azmin supaya menggunakan duit hasil jualan kepentingan dalam syarikat operator kesihatan, IHH Healthcare Berhad kepada entiti Jepun pada November lalu bernilai RM8.42 bilion untuk menghapuskan segala hutang Felda.

“Dengan itu, segala hutang peneroka dihapuskan juga seperti dijanji dalam manifesto mereka dan aset-aset Felda tidak perlu dijual lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN