Hubungan Terengganu, Kerajaan Pusat tak terjejas - Utusan Malaysia

Hubungan Terengganu, Kerajaan Pusat tak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 24 Feb. – Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat tidak terjejas meskipun sejak kebelakangan ini tercetus pelbagai isu politik yang mengaitkan kepemimpinan Pas agak cenderung untuk berbaik dengan Barisan Nasional (BN).

Malah, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, apa yang berlaku sekarang, hubungan kedua-dua kerajaan terus kekal dalam keadaan baik dalam menjalinkan kerjasama sepertimana diharapkan.

“Tiada sebarang masalah dan kita akan terus kekalkan keadaan ini secara profesional demi manfaat dan kepentingan rakyat di negeri ini.

“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berulang kali saya ada menyebut perkara ini bahawa kalau kita ingin membina sebuah negara yang lebih baik, inilah masanya kita buktikan kepada rakyat dengan mewujudkan hubungan lebih baik antara kerajaan negeri dan juga Pusat,” katanya.

Ahmad Samsuri menyatakan demikian ketika menjawab soalan salah seorang penduduk daerah ini dalam sesi dialog sempena program MB Mari Kampung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang di sini pagi ini.

Majlis  dialog secara terbuka bersama rakyat yang julung kali diadakan itu menampilkan Ahmad Samsuri sebagai panel manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong bertindak sebagai moderator bagi memberikan penerangan mengenai Bajet Terengganu 2019.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali, Exco-exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN