NEW DELHI 17 Feb. – Dengan jarak pilihan raya umum India yang semakin hampir, Perdana Menteri, Narendra Modi kini berdepan tekanan hebat daripada penyokongnya.
Mereka mendesak supaya menghukum Pakistan atas serangan pengebom bunuh diri yang berlaku terhadap konvoi tentera negara ini pada Khamis lalu.
Insiden yang berlaku di wilayah bergolak Kashmir itu menyaksikan sekurang-kurangnya 46 anggota tentera terbunuh.
Al-Jazeera melaporkan, susulan kejadian itu, India menuduh Pakistan bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan kerana didakwa menyokong kumpulan pemberontak di Kashmir, namun Islamabad menafikan perkara tersebut.
Situasi itu menjadikan hubungan India dan Pakistan semakin tegang dengan New Delhi berkemungkinan mengambil beberapa langkah sebagai ‘balas dendam’.
Antara langkah itu termasuk:
PENGASINGAN DIPLOMATIK
Sebagai reaksi umum pertama, India menarik balik status kadar tarif layanan negara teristimewa (MFN) yang diberikan kepada Pakistan, selain mengambil kesemua langkah diplomatik bagi memastikan ‘pengasingan penuh’ daripada komuniti antarabangsa Pakistan.
New Delhi menegaskan terdapat ‘bukti kukuh’ mengaitkan Pakistan dengan insiden itu.
Akhbar The Greater Kashmir melaporkan, kumpulan pemberontak Jaish-e-Mohammed (JeM) yang berpangkalan di Pakistan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
SERANGAN KETENTERAAN
Berikutan serangan tersebut, Modi memberi amaran pihak yang bertanggungjawab akan menerima balasan setimpal dan pasukan keselamatan di negara ini diberi akses menangkis sebarang kegiatan keganasan.
New Delhi menerusi laporan akhbar The Times of India mempunyai beberapa perancangan untuk melancarkan serangan ketenteraan berhubung insiden tersebut, namun bekas Pesuruhjaya Tinggi India ke Pakistan, G. Parthasarthy memberitahu, tindakan ketenteraan tidak boleh dibincangkan secara umum.
Katanya, Pakistan akan menerima balasan atas perbuatan mereka, namun tidak akan mendedahkan bagaimana perkara itu dilakukan.
TEKANAN DOMESTIK
Rakyat India sudah mula melaungkan slogan ‘serang Pakistan’ dan mendesak supaya tindakan dikenakan terhadap negara itu.
Pakar pengajian antarabangsa, Amitabh Mattoo menyifatkan keadaan kini genting dan rakyat India begitu marah dengan insiden yang berlaku.
Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, kesemua parti politik ‘perlu mendengar’ rintihan rakyat dan mengambil langkah sewajarnya.
TINDAK BALAS AMERIKA
Amerika Syarikat (AS) mengutuk Pakistan atas serangan yang berlaku dan memaklumkan mereka semakin mengukuhkan kerjasama dengan India untuk membendung keganasan.
Bagi meningkatkan sistem pertahanan India, AS menawarkan untuk menjual sistem dron kawalannya iaitu Guardian, teknologi pesawat pengangkut dan jet pejuang F-18, F-16.
APA PANDANGAN PAKISTAN?
Selepas Imran Khan menjadi Perdana Menteri Pakistan pada Ogos tahun lalu, beliau berjanji untuk mengambil dua langkah ke depan bagi setiap langkah yang dilakukan India demi menjalin hubungan yang lebih baik.
Namun, usaha damai antara kedua-dua negara dilihat tidak berjalan lancar apabila konflik Kashmir-India semakin menjadi-jadi dan New Delhi mendesak Islamabad berhenti menyokong kumpulan pemberontak bersenjata.
Sehubungan itu, Imran mengajak India mengadakan perbincangan selepas pilihan raya umum negara ini, namun India mendahului dengan melakukan rundingan antara Menteri Luar kedua-dua negara semasa sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.
Imran menyifatkan langkah itu sebagai ‘angkuh’ dan India pula mendakwa Pakistan tidak menyediakan sebarang langkah konstruktif.
TERIMA ANCAMAN
Dalam pada itu, puluhan penduduk Kashmir yang tinggal di luar wilayah Himalaya diancam, diserang dan dipaksa untuk mengosongkan kediaman mereka.
Para penuntut Kashmir di sebuah institut di Dehradun, negeri Uttarakhand turut dipukul penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan juga melaungkan slogan ‘tembak semua pengkhianat Kashmir’ dan ‘usir mereka keluar’.
Selain itu, penuntut Kashmir yang melanjutkan pengajian di negeri Haryana memberitahu mereka dihalau keluar dari rumah sewa dan kekurangan bekalan makanan.










