Huawei tawar biasiswa RM420,000 kepada pelajar MMU - Utusan Malaysia

Huawei tawar biasiswa RM420,000 kepada pelajar MMU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 7 Feb. – Syarikat telekomunikasi Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Yayasan Universiti Multimedia (YUM) membabitkan tawaran biasiswa berjumlah RM420,000 kepada pelajar Universiti Multimedia (MMU) di sini.

Melalui perjanjian tersebut, Huawei akan menawarkan biasiswa tersebut bagi tempoh lima tahun kepada pelajar MMU yang layak daripada program pengajian kejuruteraan, teknologi maklumat (IT), perniagaan dan perakaunan.

Dalam majlis tersebut, YUM diwakili Presiden MMU yang juga Timbalan Pengerusi YUM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Naib Presiden Penyelidikan dan Inovasi MMU, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, manakala Huawei diwakili Naib Presidennya, Zac Chow Chii En.

Majlis disaksikan oleh Pengerusi YUM, Tun Zaki Azmi dan ahli-ahli lembaga pengarahnya serta Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Baker Zhou Xin. Turut hadir, Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Mohamad Mohamad Zain.

Ahmad Rafi berkata, tawaran biasiswa itu merupakan satu pengiktirafan antarabangsa kepada MMU.

“Huawei telah memilih universiti yang tepat dalam usahanya melahirkan generasi pekerja masa hadapan yang berpengetahuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Zhou Xin berkata, syarikat memilih MMU memandangkan universiti itu telah mengeluarkan graduan berkualiti dan berbakat untuk industri teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Kami dapati bahawa kira-kira 213 daripada pakar dan kakitangan Huawei yang bekerja d seluruh dunia merupakan lulusan MMU,” katanya.
 
Melalui perjanjian itu juga, para pelajar MMU berpeluang untuk mengikuti program amali dan latihan teknikal, selain peluang pekerjaan di Huawei.

Selain biasiswa tersebut, MMU turut menawarkan Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit dan Kecemerlangan Sukan kepada pelajar kemasukan April dan Jun 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN