HSKU: Persaingan sengit penulis baharu, ternama - Utusan Malaysia

HSKU: Persaingan sengit penulis baharu, ternama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 yang semakin menghampiri hari kemuncaknya tidak lama lagi akan menyaksikan persaingan sengit lagi menarik antara penulis baharu dengan penulis ternama.

Menurut Pengerusi Panel Juri HSKU Ke-33, Dr. Hanafi Ibrahim, keseluruhan penyertaan juga berada pada tahap membanggakan sekali gus mampu meneruskan kewibawaan HSKU sebagai institusi pengiktirafan karya sastera yang ulung dalam negara.

“Pencapaian karya yang dinilai dari segi mutu tidak jauh berbeza daripada karya pada tahun-tahun sebelumnya. Terdapat karya yang mencapai merit mutu yang sama, malah ada yang mencapai tahap yang lebih baik.

“Peningkatan mutu karya hasil penulis baharu yang mula mencipta nama cukup membanggakan. Sumbangan karya penulis ternama juga masih tetap bertahan mutunya. Persaingan cukup mengujakan,” katanya di sini hari ini.

HSKU merupakan acara tahunan yang dianjurkan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad bagi menghargai karya-karya berbentuk cerpen, sajak dan esei yang pernah disiarkan dalam akhbar dan majalah terbitan Kumpulan Utusan seperti Mingguan Malaysia, majalah Wanita dan Utusan Online sepanjang tahun berkenaan.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, penjurian kali ini memberi fokus kepada kriteria umum sesebuah karya yang merangkumi nilai pemikiran, kreativiti, keindahan dan aspek kekuatan bahasa.

Namun begitu, kata beliau, kriteria-kriteria khusus tetap diambil kira dalam penjurian setiap genre seperti puisi, cerpen atau esei.

“Penilaian dilakukan secara saksama berdasarkan pencapaian mutu sesebuah karya berasaskan kriteria tanpa dipengaruhi oleh pencapaian kepengarangan.

“Kesemua karya dibaca dan dinilai, seterusnya dilakukan pe­nyaringan memilih karya yang disenarai pendek, seterusnya me­nentukan karya pemenang,” katanya.

Mengulas mengenai subjek yang mendominasi penyertaan kali ini, Hanafi berkata, subjek bervariasi namun bo­leh dikatakan kemanusiaan menjadi pilihan kebanyakan penulis.

Katanya, penulis te­tap memberikan keutamaan kepada aspek nilai kebena­ran dan keindahan serta banyak karya ditulis hasil pengalaman dan penelahan isu-isu tempatan dan antarabangsa.

“Dari segi teknik terdapat kecenderungan pengarang untuk meneroka dan mendalami sudut kejiwaan,” ujarnya.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Cerpen Umum, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana , Novel Remaja serta Cerpen Media Baharu. Majlis pe­nyampaian hadiah akan diadakan di Panggung Anniversari, Tasik Perdana dekat sini pada 27 Februari bermula pukul 3 petang dan terbuka kepada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×