PULAU PINANG 22 Feb. – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) menandatangani perjanjian pajakan hari ini untuk pembinaan sebuah hospital Islam yang pertama di negeri ini.
Pengerusi YIPP, Datuk Mansor Othman berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya minggu depan dengan termeterainya perjanjian pajakan bersama MAINPP itu.
“Kelulusan untuk pembinaan juga telah diperoleh daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 17 Julai 2018 untuk projek berkenaan.
“Projek bernilai RM250 juta ini kita jangka dapat disiapkan pada 2022,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis menandatangani perjanjian pajakan itu ialah Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Menurut Mansor, hospital tersebut terdiri daripada bangunan 14 tingkat dan akan mempunyai 600 tempat meletak kereta setinggi tujuh tingkat serta dilengkapi dengan 200 katil. – UTUSAN ONLINE











