LONDON 24 Feb. – Roy Hodgson mengakui bahawa dia sama sekali tidak jangka bakal menjadi pengurus tertua di Liga Perdana Inggeris selepas kembali menyertai bola sepak Inggeris pada 2007.
Pada usia 71 tahun 198 hari, Hodgson mengatasi rekod yang dipegang Bobby Robson dengan Crystal Palace menang 4-1 ke atasi Leicester, semalam.
Selepas cemerlang di persada antarabangsa selain bersama Blackburn pada 1997-98, Hodgson kembali bersama Fulham kira-kira 12 tahun lalu.
Dia kemudiannya membimbing Liverpool, West Brom dan England sebelum bersetuju menyertai Palace pada 2017.
“Keadaan ini sangat pelik, saya mahu lakukan sesuatu selepas kembali ke England pada 2007 dan 12 tahun ini merupakan detik luar biasa dalam karier saya.
“Paling penting sekarang ini ialah menjaga kesihatan fizikal saya. Saya mahu kekal cergas untuk berada dalam posisi ini,” katanya.
Kejayaan semalam di Stadium King Power menyaksikan skuad Eagles berada enam mata di atas zon penyingkiran dan Hodgson yakin skuad kendaliannya itu tidak akan berdepan sebarang masalah.-AGENSI










