Hina nabi : Sarkar Tanesan direman - Utusan Malaysia

Hina nabi : Sarkar Tanesan direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Seorang lagi lelaki direman bagi membantu siasatan kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Siti Aishah.

Lelaki berusia 21 tahun itu yang merupakan pemilik akaun Facebook menggunakan nama Sarkar Tanesan ditahan pada 21 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki itu kini masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Sehingga pukul 9 pagi ini sebanyak 11 laporan polis dibuat terhadap Sarkar. Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad dan Saidatina Aisyah yang tular di internet baru-baru ini bertambah kepada 491 laporan.



“Selain Sarkar, laporan itu melibatkan penghinaan melalui perkataan dan infografik oleh pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai, dan Sally Yen. Berdasarkan laporan yang dibuat tiga kertas siasatan telah dibuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Dalam pada itu Mohamad Fuzi memberitahu, Foo Sing Wai, 68, yang ditahan Selasa lalu dan direman selama tiga hari sehingga kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis kerana faktor umur serta komplikasi kesihatan, manakala kertas siasatan suspek akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kes membabitkan Sally Yen pula diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak pendakwa raya kerana pemilik akaun berkenaan tidak dapat dikenal pasti setelah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk pengesahan.

“Dua laporan polis dibuat terhadap akaun Facebook menggunakan nama Sally Yen dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pemilik akaun serta pihak yang terlibat menularkan semula status yang telah dimuat naik pada 2013,” ujarnya.

Ketiga-tiga kes kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN