Hina nabi: Himpunan raksasa diadakan jika tiada tindakan tegas - Utusan Malaysia

Hina nabi: Himpunan raksasa diadakan jika tiada tindakan tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Himpunan raksasa akan diadakan jika tiada tindakan tegas oleh kerajaan terhadap pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai yang memuatkan karikatur biadab menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda dalam laman media sosial.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, partinya sangat terkilan dan kesal dengan tindakan pihak polis membebaskan pemilik akaun Facebook tersebut dan langkah itu tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam mengapa suspek dibebaskan dengan mudah.

Katanya, sebanyak 395 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap individu biadab tersebut dan dia disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun hanya direman selama tiga hari dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. 

“Kerajaan Malaysia mesti tegas bertindak. Jaga agama Islam dan sensitiviti penganutnya. Jika kerajaan malas dan lembab bertindak, ia menyebabkan penghina agama ini makin berani dan nekad.

“Jika tiada tindakan tegas, rakyat pasti akan bangkit dan himpunan raksasa akan diadakan untuk mendesak kerajaan bertindak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Nasrudin, mengikut fakta kes, tindakan individu biadab tersebut tidak wajar untuk dilepaskan. 

Oleh itu, katanya Pas menuntut penjelasan daripada pihak berwajib bagi meredakan keresahan umat Islam.

“Ia satu provokasi yang jelas mengundang suasana buruk. Tindakan inidividu biadab tersebut sewajarnya dikenakan hukuman berat.

“Karikatur menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda tidak dapat dimaafkan oleh umat Islam di negara ini,” tambahnya.

Beliau turut membandingkan dengan kes seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad pada tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 298 dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM15,000.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN