SEVILLE – Jaringan hatrik Lionel Messi berjaya mengukuhkan kedudukan Barcelona sebagai peneraju La Liga selepas menewaskan Sevilla 4-2 di Stadium Ramon Sanchez Pijzuan awal pagi semalam.
Meskipun dua kali ketinggalan pada perlawanan tersebut, namun skuad kendalian Ernesto Valverde itu tidak mudah mengaku kalah apabila bangkit menerusi jaringan hatrik Messi serta satu gol daripada Luis Suarez.
Messi mengakui pasukan itu kembali menunjukkan prestasi sebenar, lebih-lebih lagi mereka sering dikritik sejak kebelakangan ini kerana gagal bermain seperti biasa.
“Hari ini (semalam) kami menampilkan corak permainan sebenar. Saya gembira apabila semua pemain bermain baik dan kami juga berjaya menjaringkan gol apabila diperlukan.
“Saya akui bukan mudah untuk catat kemenangan di sini, terutamanya dengan prestasi kami yang terumbang-ambing. Bagaimanapun, kami berjaya menampilkan aksi yang baik, sekali gus melakar kemenangan,” kata Messi.
Sementara itu, dia juga berharap skuad The Catalans mampu meneruskan aksi cemerlang ketika bertandang ke Santiago Bernabeu bagi perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Raja Sepanyol menentang Real Madrid Khamis ini.
“Kami akan menentang Real Madrid pada separuh akhir Piala Raja Sepanyol dan semua orang tahu ia bukannya perlawanan yang mudah. Bagaimanapun, kami mahu menang pada perlawanan itu,” ujarnya. – Agensi










