Harimau kumbang baham biri-biri ditangkap - Utusan Malaysia

Harimau kumbang baham biri-biri ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU 17 Feb. – Seekor harimau kumbang yang dikatakan membaham ternakan penduduk di Kampung Geylang, Simpang Pertang dekat sini, akhirnya memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, malam tadi.

Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, haiwan itu memasuki perangkap besi yang dipasang di kawasan kampung tersebut sejak dua minggu lalu kira-kira pukul 10 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan umpan seekor kambing hidup yang diletakkan di dalam sangkar berasingan bersebelahan perangkap besi tersebut.

“Kami belum mengenal pasti jantina dan berat haiwan itu kerana haiwan itu akan menjalani prosedur rawatan oleh Jabatan Veterinar dan Perhilitan negeri,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, haiwan itu akan dilepaskan kembali ke habitat asalnya jika pemeriksaan tersebut mendapati harimau kumbang itu sihat.

Beliau memberitahu, harimau kumbang adalah spesies terancam yang sukar ditemukan dan dilindungi sepenuhnya mengikut jadual kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dalam kejadian semalam, sebanyak 15 ekor biri-biri ditemukan mati dipercayai akibat dibaham harimau di kampung berkenaan.

Kejadian itu disedari kira-kira pukul 9 pagi ketika pemilik ternakan itu, Ibrahim Maasin, 60, ketika masuk ke kandang biri-biri berdekatan rumahnya untuk memberi haiwan itu makan.

Dia terkejut mendapati 15 biri-biri miliknya mati bergelimpangan dalam kandang. Terdapat kesan kulit haiwan itu disiat dan dirobek di bahagian perut hingga menampakkan tulang.

Ibrahim berkata, ia adalah kali keempat kejadian itu berlaku dan 20 ekor biri-biri miliknya telah mati dalam kes sebelum itu.

“Sebelum ini, serangan harimau itu berlaku di luar kandang dan insiden semalam adalah kejadian pertama haiwan pemangsa itu masuk ke dalam kandang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN