OP SELAMAT 14 sempena Tahun Baharu Cina berlangsung antara 29 Januari hingga 12 Februari nanti. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meletakkan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat nanti termasuklah memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan melanggar arahan lampu isyarat.
Sementara itu, denda sebanyak RM300 akan dikenakan tanpa diskaun sebagai usaha mengajar pengguna jalan raya agar berhati-hati dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan serius ketika memandu.
Sepanjang Op Selamat 14 nanti, kita menjangkakan pergerakan kenderaan di lebuh-lebuh raya dan jalan-jalan biasa akan meningkat. Ini disebabkan cuti persekolahan yang agak panjang sama ada sebelum sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan selepasnya. Maka tidak hairanlah kesesakan akan berlaku di beberapa laluan utama seperti Lebuh Raya PLUS dan beberapa lagi.
Membuka lorong kecemasan di Slim River dan di beberapa kawasan lain di lebuh raya PLUS akan dapat mengelak kesesakan serius seperti musim-musim perayaan sebelumnya. Pertambahan kenderaan dijangka sebanyak 1.9 juta berbanding hari-hari biasa. Pertambahan yang mendadak ini tentulah memerlukan pengawasan dan persediaan rapi supaya kenderaan boleh bergerak dengan lancar ke destinasi tertentu.
Fokus pemantauan pergerakan kenderaan semasa Op Selamat mestilah ke arah mengurangkan kesesakan di samping tujuan utama untuk mengurangkan kemalangan terutama kemalangan maut. Anggota PDRM bahagian trafik mesti ditambah jumlah untuk memantau aliran kenderaan ke destinasi-destinasi utama terutama ke utara, selatan dan Pantai Timur.
Pengalaman penulis ketika pulang ke utara pada Tahun Baharu Cina beberapa tahun lepas, apabila ada anggota trafik mengawal kenderaan agar tidak memotong sebelah kiri, aliran kenderaan menjadi lancar kerana tidak ada yang berebut-rebut hendak ke hadapan.
Di negara kita, masih ramai pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri hendak sampai ke destinasi dengan memotong kenderaan lain sesuka hati. Jika sikap ini tidak dibuang, sampai bila-bila pun kesesakan akan berlaku dan menyusahkan orang lain.
Oleh hal demikian, menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya mematuhi setiap arahan yang sedia ada dan arahan-arahan baharu supaya perjalanan pada musim perayaan berjalan dengan lancar. Ingatlah bahawa jalan raya bukan hanya milik kita tetapi milik bersama dan kemudahan ini mesti digunakan dengan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya mestilah berusaha mematuhi jadual perjalanan yang disediakan oleh PLUS bagi pergerakan kenderaan ke arah-arah tertentu untuk mengurangkan kesesakan di lebuh-lebuh raya.
Apa-apa pun, sikap bertimbang rasa pengguna jalan raya, memandu dengan penuh berhemah sangat penting dalam usaha mengurangkan kemalangan di jalan raya.
Bagi penunggang dan pembonceng motosikal pula mereka mestilah memahami bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat besar di jalan raya. Mereka tidak boleh menjadikan lebuh raya sebagai tempat untuk mengukur kemampuan siapa yang tiba lebih awal di destinasi kerana bahaya sentiasa menanti mereka.
Semua pihak mestilah menghargai Op Selamat kerana dengan adanya operasi seperti ini, kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dapat dikurangkan jika semua pihak memberi komitmen padu menjayakannya.










