Harapan besar Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Harapan besar Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh dua hari lagi, seluruh kaum Tionghoa bakal menyambut Tahun Baharu Cina. Sambutan yang meriah tidak terkecuali untuk mereka sama-sama meraikan hari besar yang dinanti-nantikan itu.

Penyanyi Winnie K tidak menyatakan teruja untuk sambutan perayaan pada tahun ini. Begitu juga dengan aktres veteran popular era-90an, Nancie Foo yang tidak ketinggalan menanti-nantikan perayaan itu. 

 

Komposer muzik, Ong Peng Chu juga tidak terkecuali. Bersama Pancaindera, mereka berkongsi cerita dan harapan besar untuk menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal menjelma.

Beraya sakan di ibu kota

JIKA tahun lalu, dia tidak puas untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan sanak saudara, tetap kali ini tidak. Peluang tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya buat penyanyi Winnie K.

Seboleh-bolehnya, dia mahu memanfaatkan setiap masa sepanjang musim perayaan ini bersama mereka. Pendek kata, dia mahu membalas dendam kerana dia berada di China atas urusan kerja pada tahun lepas.

“Tahun ini, saya mahu beraya sakan. Nak jumpa semua sanak saudara yang jauh atau dekat untuk sama-sama meraikan hari istimewa ini. Pada waktu inilah kita dapat bertanya khabar masing-masing.

“Saya berhajat untuk pergi ke semua rumah mereka pada musim perayaan ini. Nak pusing satu Kuala Lumpur sebelum bergerak ke kampung halaman di Raub, Pahang pula,” kata anak jati ibu kota ini.

Tidak sabar bertemu keluarga sempena acara makan besar nanti, Winnie terlebih dahulu sudah menyiapkan angpau untuk diagih-agihkan kepada lima anak saudara dan keluarga terdekat.

Enggan berkongsi jumlah keseluruhan peruntukan perayaannya, apa yang penting buat wanita ini adalah keikhlasan berkongsi rezeki. Perkara itu yang paling dititikberatkan olehnya.

“Tidak kira berapa jumlah angpau yang dikongsi kepada orang lain, bukan nilai itu yang menjadi ukuran dan perlu dibanggakan. Sebaliknya ia dibuat untuk lebih mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Kalau ada yang memberi dan menerima angpau itu sudah memberi petanda yang baik buat seseorang. Jasa baik mereka akan dikenang sampai bila-bila,” ujarnya.

Kisah tiada tiket

 

KOMPOSER muzik, Ong Peng Chu, 54, tidak akan melupakan kenangan menyambut Tahun Baharu Cina tanpa keluarga pada 2015. Ketika itu dia berada di Beijing, China atas urusan kerja dengan sebuah syarikat muzik.

Gara-gara sibuk dengan komitmen kerja,  dia terlupa untuk menempah tiket kapal terbang untuk pulang ke tanah air. Akibatnya, tiada tiket yang untuk boleh dibeli kerana pada waktu kemuncak itu.

Mahu atau tidak, Peng Chu terpaksa akur berjauhan dengan keluarga buat pertama kalinya.

“Nasib baiklah ada kawan-kawan di China yang sudi menumpangkan saya berteduh di rumah mereka. Dapat juga saya menyambut tahun dengan keluarga mereka walaupun dengan keadaan yang berbeza.

“Sedih itu tak payah cakaplah. Melihat keluarga berkumpul beramai-ramai, gelak ketawa dan kemeriahan waktu itu, terdetik juga perasaan hiba itu. Tapi nak buat macam mana,” katanya mengenang kenangan sayu itu. 

Peng Chu hanya pulang ke tanah air selepas seminggu menyambut perayaan.  Kepulangannya itu dinantikan isteri kesayangan, Ming Wei, 51, dan dua orang anaknya, Yan Han, 23, dan Le Yu, 21.

Pengalaman menyambut Tahun Baharu Cina di luar negara juga mengajar erti bersyukur. Ini kerana menerusi pengamatannya, sambutan dalam negara lebih meriah berbanding di luar.

“Perbezaan paling ketara pada dekorasi setiap kali tiba musim perayaan sesuatu kaum. Kita boleh lihat di pusat membeli-belah itu, dekorasi dan lagu perayaan itu dipasang berulang-ulang kali.

“Tapi di luar negara, ia tidak meriah seperti dalam negara. Sebab itu, saya suka dengan sambutan Tahun Baharu Cina di tanah air sendiri,” katanya lagi.

Ong baru saja diberi tanggungjawab menerbitkan sebuah lagu berjudul Zuo Jian (Bahu Kiri) yang dicipta khas untuk mengenang usia 45 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. 
Lagu tersebut dinyanyikan oleh Masya Marshita dan Jeryl Lee Pei Ling.

 

Tradisi cheongsam

 

PEMEGANG gelaran Ratu Cantik Malaysia 1979, Nancie Foo sentiasa menanti-nantikan kedatangan perayaan itu kerana waktu itulah masa paling tepat untuk berkumpul seisi keluarga.

Komitmen kerja dan urusan harian menyebabkan dia kadangkala sibuk dan tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga. Sudah pastinya dia menunggu momen berkenaan.

Satu lagi perkara yang dinanti-nantikan adalah saat menyaksikan ketiga-tiga anak perempuannya, Wong Ai Dee, 26, Wong Ai Vee, 24, dan Wong Ai Lee, 18, memakai baju cheongsam.

Ini kerana kesemua anaknya itu dilihat agak liat mahu memakai pakaian tradisi kaumnya. Sebaliknya mereka memilih untuk memakai baju moden dan kasual yang dilihat lebih serasi dengan mereka. 

“Kalau kita tak mengingatkan generasi muda tentang kepentingan memakai baju tradisi cheongsam pada tahun baharu, lambat-laun mereka  akan melupakannya juga. 

“Jadi bagi mengelakkan perkara itu terjadi, saya bertegas kepada mereka dalam hal ini. Boleh pakai baju T atau seluar jeans, tapi bukan pada Hari Raya Cina,” katanya.

Mengulas tentang persiapan yang dibuat, wanita ini lebih menumpukan kepada keperluan berbanding kehendak semata-mata. Ini bagi mengelakkan berlaku pembaziran hingga merugikan.

Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini menyebabkan dia perlu berbelanja lebih berhemah. Setiap wang yang  dikeluarkan perlu dibelanjakan sebaik mungkin.

“Persiapan perlu sederhana tetapi perayaan mesti meriah. Peruntukan angpau untuk kanak-kanak tidak boleh dilupakan kerana itu adalah cara kita berkongsi rezeki. 

“Saya pula jenis yang suka buat persiapan awal. Mana yang boleh ditempah awal, perlu dibuat seperti menu makanan, lauk-pauk, kuih-muih dan paling istimewa ialah yee sang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN