ALOR SETAR 25 Feb. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin goyang sehingga terpaksa mengumumkan cadangan penghapusan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi ekoran sokongan rakyat yang semakin beralih arah kepada pembangkang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak akan membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh tetapi menimbulkan beberapa persoalan.
Menurutnya, rakyat hari ini juga lebih peka tentang hal-hal politik serta sentiasa bertanyakan keadaan ekonomi negara selain ditambah pula kepemimpinan kerajaan yang kerap membuat pusingan U terhadap janji manifesto pilihan raya.
“Perkara inilah yang menggoyangkan kerajaan PH kerana dengan senario semasa, diyakini bahawa anak-anak muda bakal beralih arah memberi undi kepada calon pembangkang.
“Hal ini disebabkan merekalah yang paling banyak terkesan dengan janji manifesto seperti isu Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), janji ribuan peluang pekerjaan dan pengurangan kos sara hidup… Cakap macam lain, buat macam lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri kelmarin mengumumkan cadangan memansuhkan kutipan tol kepada caj kesesakan pada waktu puncak serta mengenakan diskaun 30 peratus pada waktu biasa dan bebas tol dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi di empat lebuh raya di Lembah Klang.
Cadangan itu akan dilaksanakan apabila kerajaan PH selesai mengambil alih konsesi empat lebuh raya tersebut yang kini dikuasai oleh Gamuda Berhad.
Ahmad Fakhruddin berkata, isu penghapusan tol itu tidak lebih sekadar propaganda kerajaan PH menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Sabtu ini dan PRK Rantau kelak untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka.
“Rakyat sebenarnya ingin mengetahui pula berapakah jumlah pembayaran pampasan yang dipersetujui antara pihak pemegang konsesi dengan kerajaan.
“Daripada manakah sumber kewangan kerajaan bagi menampung pembayaran berkenaan dan lebih utama rakyat sebenarnya ternanti-nanti bilakah tol akan dihapuskan secara keseluruhannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE










