SIKAP enggan berputus asa, itulah semangat yang boleh digambarkan buat pelumba tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah, 24, menjelang perlumbaan musim keduanya pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang akan membuka tirai Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 10 Mac depan.
Musim ini, Hafizh dijangka berdepan cabaran hebat apabila perlu memacu jentera baharu buatan Austria, KTM selepas pasukan Tech3 memutuskan untuk mengakhiri kerjasama dengan Yamaha setelah hampir 20 tahun menggunakan jentera Yamaha R1.
Bagaimanapun, transisi tersebut tidak memberi masalah buat pelumba utama pasukan Red Bull KTM Tech3 itu apabila dia bertekad untuk mendapatkan keserasian tunggangan secepat mungkin, selain kembali memburu mata pada perlumbaan pembuka tirai pada Grand Prix (GP) Qatar nanti.
Musim lalu, penampilan Hafizh dalam kelas perdana MotoGP mendapat pujian positif apabila berjaya mengutip satu mata pada aksi sulung GP Qatar selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14, manakala keseluruhan di tangga ke-16 dengan 46 mata sebaik tamat musim.
“Saya sangat gembira kerana berjaya memperbaiki catatan masa di Qatar pada hari terakhir sesi ujian pramusim. Saya tahu, kita masih jauh ketinggalan tetapi secara keseluruhan kami sangat pantas.
“Saya sudah mula memahami karakter jentera ini dan mahu menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya sejurus tamat sesi ujian pramusim semalam.
Hafizh sedikit kecewa pada hari kedua sesi ujian pramusim di Qatar apabila tidak menemui pelarasan cukup sempurna untuk memecut lebih laju apabila terdapat masalah pada komponen depan jentera miliknya itu.
Namun, pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu kembali memperbaiki catatan 1.088 saat lebih pantas pada hari terakhir aksi pramusim tersebut.
“Kami juga telah mencuba simulasi perlumbaan dan jelas ia memberi gambaran yang positif. Secara keseluruhan saya mula memahami tindak balas jentera itu.
“Saya telah menyediakan data kepada pasukan dan mereka juga sudah mula memahaminya. Apa pun, masih banyak perkara perlu dilakukan,” ujarnya.
Pada musim ini, KTM mengeluarkan bajet besar untuk membangunkan jentera RC16 apabila keempat-empat pelumba mereka iaitu Miguel Oliveira, Johann Zarco dan Pol Espargaro menggunakan jentera pengeluar.










