Habitat kelip-kelip ubah Kampung Dew - Utusan Malaysia

Habitat kelip-kelip ubah Kampung Dew

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 18 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azu­mu percaya, habitat kelip-kelip di Kampung Dew di sini dapat dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan unggul di negara ini sekiranya semua pihak bersatu mempromosi serta memajukan kawasan tersebut.

Beliau berkata, berbekalkan kelebihan Kampung Dew yang terletak berdekatan dengan susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan Plaza Tol Taiping Utara, kemudahan infrastruktur di sini juga boleh ditingkatkan tanpa perlu kepada pembinaan hotel bertaraf lima bintang.

“Sebaliknya, ia lebih kepada kerjasama dengan penduduk setempat untuk membaiki prasarana sedia ada. Jika terdapat inap desa, kita berikan perkhidmatan terbaik kerana hospitaliti itulah akan menjadi bualan pelancong asing.

“Malahan, pengunjung di sini dapat menikmati cahaya kelip-kelip di pokok berembang sepanjang 12 kilometer yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip sejak tahun lalu,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 120 sukarelawan terdiri daripada pelajar Kolej Lake View Taiping, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping, Giat Mara Padang Rengas dan Kolej Komuniti Jempol, Negeri Sembilan turut sama dalam aktiviti penanaman anak pokok berembang, pembersihan sungai, menaik taraf tapak semai­an serta aktiviti mengecat rumah penduduk di sini.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Ahmad Faizal berkata, kerajaan nege­ri amat menghargai peranan TNB dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bergan­ding bahu dalam usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip di Kampung Dew.

Beliau berkata, inisiatif oleh kedua-dua pihak itu bertepatan dengan visi kerajaan negeri menjadikan sektor pelancongan sebagai satu teras dalam me­rakyatkan ekonomi.

“Bagi menjayakan agenda ini, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka terhadap mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi sama bagi memberikan nilai tambah terhadap lokasi serta produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN