SAUDARA PENGARANG,
STATISTIK menunjukkan lebih 20,000 generasi muda telah diisytihar muflis akibat daripada kegagalan membayar semula komitmen pinjaman. Mengapa perkara begini terjadi? Mungkin salah satu punca kerana kurangnya ilmu perancangan kewangan.
Kebanyakan mereka memilih untuk mengikut trend masa kini dengan bermewah-mewah tanpa mengambil kira komitmen yang dihadapi.
Namun begitu, hal ini dapat di atasi dengan pendedahan ilmu perancangan kewangan.
Dengan terurusnya kewangan, sudah pasti kita dapat berbelanja hanya mengikut kemampuan dan hanya akan membuat komitmen-komitmen kewangan yang mampu diselesaikan.
Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak. Di antara kesilapan yang sering dilakukan ialah terlalu banyak berbelanja, lambat membayar hutang pinjaman dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.
Berikut adalah antara langkah yang boleh diambil untuk merancang kewangan dengan baik:
* Tentukan matlamat kewangan anda. Ia harus menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu.
* Kenal pasti tabiat berbelanja. Anda akan dapat ketahui ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang.
* Nilai tabiat anda berbelanja. Jika wang anda tidak berbaki pada setiap hujung bulan, teliti semula semua perbelanjaan anda dan tentukan apa yang telah anda beli adalah perkara yang benar-benar diperlukan atau memenuhi kemahuan.
* Lakukan pelan perbelanjaan. Gunakan formula 30:10 iaitu membahagikan pendapatan yang diperolehi kepada empat bahagian, iaitu tiga bahagian 30% dan satu bahagian 10 %.
Bahagian 30 % yang pertama merujuk kepada simpanan, pelaburan dan perlindungan; 30 % yang kedua untuk membayar hutang; 30 % yang seterusnya untuk perbelanjaan dan 10 % untuk penyucian harta.
NIK NUR SHAFIKA MUSTAFA
Pensyarah Kewangan dan Pelaburan UiTM










