KUALA LUMPUR 11 Feb. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkemungkinan memfailkan saman fitnah terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong kerana mempersoalkan kredibilitinya sebagai akauntan profesional bertauliah.
Setiausaha Politiknya, Tony Pua berkata, tindakan saman itu juga mungkin dikenakan terhadap media yang melaporkan perkara berkenaan.
“Peguam kepada menteri menasihatkan beliau berhak mengemukakan saman fitnah terhadap mana-mana media pro-Barisan Nasional yang berterusan menyiarkan penipuan dengan mempertikaikan kedudukan dan kredibilitinya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ka Siong menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya meminta Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, menjelaskan bagaimana beliau berjaya menjadi akauntan profesional bertauliah setahun sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Monash kerana terdapat dua perkara pelik mengenai maklumat yang disiarkan dalam laman web limguaneng.com berkenaan kelayakannya.
Menjawab persoalan itu, Pua berkata, kalendar akademik Australia berakhir pada bulan November sebelum cuti musim panas, oleh itu, pada akhir 1983, Guan Eng telah menamatkan dan lulus semua peperiksaan berkaitan bagi membolehkan beliau memperoleh ijazah serta kelayakan untuk menjadi akauntan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu turut berkata, Guan Eng juga menerima sijil keahlian Australian Society of Accountants tiga bulan selepas lulus peperiksaan pada 21 Februari 1984.
“Malah, keahliannya sebelum menerima ijazah pada 11 April 1984. Pemegang doktor falsafah seperti Ka Siong sepatutnya boleh menyatakan perbezaan antara seseorang yang sudah bergraduasi daripada universiti berdasarkan tempoh menerima sijil rasmi, yang boleh dikeluarkan enam bulan atau setahun selepas itu.
“Memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak bermakna Guan Eng tidak belajar subjek akauntan atau tidak layak menjadi ahli Australian Society of Accountants,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelayakan Guan Eng sama ada akauntan bertauliah atau akauntan berkanun, Pua menunjukkan salinan sijil Australian Society of Accountants, yang tertera Menteri Kewangan itu sebagai provisional member (ahli sementara).










