Sedikit tersasar daripada jangkaan kebanyakan pengkritik filem.
Karya arahan pengarah Peter Farrelly, Green Book berjaya bikin kejutan apabila sukses merebut trofi Oscar idaman semua pembikin filem seluruh dunia untuk anugerah Filem Terbaik pada acara berprestij Academy Awards ke-91 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, semalam.
Keputusan tersebut jauh lari daripada jangkaan ramai yang meramalkan sama ada filem The Favourite atau Roma yang menjulang trofi utama tersebut.
Turut membuat kejutan mega apabila The Favourite yang menerima 10 pencalonan hanya berupaya meraih satu kemenangan iaitu menerusi hasil lakonan pelakon utama filem terbabit, Olivia Colman yang dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik.
Sebaliknya, Roma yang turut meraih 10 pencalonan boleh menarik nafas lega apabila membolot tiga trofi iaitu Pengarah Terbaik, Filem Bahasa Asing Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Demikianlah ‘warna realiti’ Academy Awards atau Oscar kali ini. Kemenangan pada acara berprestij lain seperti Golden Globe dan Critics’ Choice Awards mahupun British Academy Film Awards (BAFTA) ternyata tidak memberi bayangan sebenar terhadap pemenang di pentas Oscar.
Mencuri tumpuan sudah tentu kejayaan filem biografi, Bohemian Rhapsody. Naskhah yang menampilkan kisah kumpulan rock legenda, Queen dengan memfokus terhadap kehidupan penyanyi utamanya, Freddie Mercury itu pulang bergaya dengan empat kemenangan.
Filem tersebut menang kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan cemerlang Rami Malek, Adunan Bunyi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik dan Suntingan Bunyi Terbaik.
Rami jatuh, cipta sejarah
Pertama kali menerima pencalonan, tuah sememangnya berpihak kepada Rami Malek,37, apabila menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, sekali gus menewaskan calon kegemaran iaitu Christian Bale yang menyerlah dengan watak Dick Cheney dalam filem Vice.
Dalam ucapannya, Rami berbangga walaupun merupakan anak pendatang dari Mesir, dia telah membuktikan sesuatu mampu digapai dengan usaha yang tidak mengenal penat lelah.
“Saya anak lelaki imigran berasal dari Mesir. Saya merupakan generasi pertama. Saya mungkin bukan pilihan paling tepat untuk melakonkan watak ini, namun percubaan saya berjaya.
“Filem ini tentang lelaki homoseksual dan seorang imigran yang menjalani kehidupan mengikut kata hatinya. Saya meraikan dia (Freddie Mercury) dan pada malam ini telah menjadi bukti sebenarnya kita sentiasa mahukan filem seperti ini,” ungkap Rami.
Ketika ditemui media di belakang pentas, Rami mendedahkan, dia tidak menjangka akan menggenggam trofi Oscar.
“Tidak pernah terfikir ini akan berlaku dalam kehidupan saya. Satu perkara yang boleh saya cakap tentang hal ini, sebagai seorang pelakon, banyak dalam kalangan kita bermimpi untuk satu perkara iaitu untuk mendapatkan satu pekerjaan (lakonan),” tuturnya.
Malam gemilang Rami bertukar sedikit kerisauan apabila usai menerima trofi Oscar, dia jatuh dari pentas sehingga terpaksa dibantu pasukan paramedik. Difahamkan, kecederaan Rami tidak teruk dan dia masih mampu berjalan.
Sementara itu, genggaman trofi Oscar Pelakon Wanita Terbaik nampaknya masih tidak berpihak buat pelakon veteran, Glenn Close apabila kali ini ditewaskan oleh Olivia Colman. Untuk rekod, kekalahan tersebut merupakan kali ketujuh buat Glenn selepas meraih pencalonan sebanyak tujuh kali untuk kategori tersebut.
Glenn kempunan lagi
Diberikan harapan tinggi untuk menang hasil lakonan mantap menerusi The Wife, Glenn terdahulu diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Critics’ Choice Awards dan Golden Globe. Nama yang barangkali yang menjadi penghalang untuknya pulang dengan Oscar hanya Olivia dan Lady Gaga.
Hal ini kerana, Glenn berkongsi trofi dengan Gaga pada Critics’ Choice Awards sementara Olivia menewaskannya pada BAFTA.
Ucapan Olivia ketika menang Oscar membuatkan ramai yang tersentuh emosi.
“Dicalonkan bersama (pelakon) wanita-wanita lain dalam kategori ini amat hebat. Glenn Close, anda merupakan idola saya. Saya tidak mahu menang malam ini dan saya sangat sayangkan anda.
“Mana-mana anak kecil berangan membuat ucapan di pentas ini, anda tidak pernah tahu. Saya pernah bekerja sebagai seorang tukang cuci dan saya sukakan kerja itu. Ketika itu, saya selalu berangan untuk punya momen seperti sekarang ini,” ucap Olivia.
Gaga, Bradley memukau
Tidak menggunakan khidmat pengacara majlis pada edisi kali ini, Oscar 2019 bagaimanapun meninggalkan banyak momen yang mencuri tumpuan. Antaranya persembahan pembukaan Queen dan Adam Lambert mendendangkan lagu klasik We Will Rock You dan We Are The Champions.
Persembahan tersebut mendapat tepukan sambil berdiri (standing ovation) daripada penonton yang hadir.
Tidak kurang dengan momen tersebut, paling mencuri tumpuan adalah persembahan perdana televisyen bintang A Star Is Born iaitu Lady Gaga dan Bradley Cooper ketika mendendangkan lagu Shallow.
Tambah manis, karya berkenaan diangkat sebagai pemenang Lagu Original Terbaik. Meskipun kalah dalam tujuh pencalonan utama lain menerusi filem A Star Is Born, kelibat Gaga dan Bradley menjadi perbualan ramai.
Ketika menerima trofi Oscar, ucap Gaga: “Kalau anda mempunyai satu mimpi, berjuanglah untuknya. Kalau ada disiplin dan minat. Bukan tentang berapa banyak kali anda ditolak, jauh atau dipukul, sebaliknya perjuangan tentang berapa banyak kali anda bangkit dan menjadi berani. Bukan tentang kemenangan sahaja tetapi tentang erti tidak pernah mengalah.”
Academy Awards Ke-91 juga menyaksikan integriti pihak Akademi menjulang tinggi di mata dunia apabila mengiktiraf karya bukan ‘material’ Oscar seperti Black Panther yang pulang bergaya dengan tiga trofi.
Bagaimanapun, ada juga suara-suara sumbang penafian terhadap Roma. Dikatakan, Roma sepatutnya muncul sebagai Filem Terbaik. Bagaimanapun, hanya disebabkan Roma bukan filem untuk tayangan di pawagam, ada pihak berpendapat, kemenangan kategori tersebut diputuskan milik Green Book, sekali gus menjelaskan bahawa dunia belum bersedia tidak mahu memecah ‘tabu’ Oscar.
Filem biopik Bohemian Rhapsody menang empat trofi pada Academy Awards ke-91 yang berlangsung semalam. Green Book dinobat Filem Terbaik, sementara pengarah kelahiran Mexico, Alfonso Cuarón yang memberi sentuhan magis menerusi karya Roma diangkat sebagai Pengarah Terbaik.










