Geng Vade tumpas - Utusan Malaysia

Geng Vade tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah dikenali ‘Geng Vade’ yang aktif melakukan jenayah samun sekitar daerah ini selepas berjaya menahan dua ahlinya pada Khamis lalu.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 34 dan 35 tahun ditahan di sebuah kawasan di daerah ini kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan tersebut sudah bergiat aktif sejak tiga bulan yang lalu.

Katanya, mereka menyasarkan rumah yang sedang dalam proses ubahsuai sebagai sasaran untuk melakukan jenayah samun. 

“Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, kita telah merampas pelbagai barangan disyaki hasil samun antaranya alat pemotong jubin, mesin gerudi, segulung wayar dan sebuah ‘amplifier’.

“Kita turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun. Kedua-dua suspek  direman sehingga Rabu ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini. 

Shamsul Amar berkata, semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua mereka mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Siasatan juga mendapati kumpulan itu terlibat dalam tiga kes samun melibatkan rumah yang sedang diubah suai di sekitar Klang selain satu kes curi motosikal.

“Siasatan masih dijalankan sama ada terdapat saki-baki ahli kumpulan terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN