Geng Auto Macai tumpas - Utusan Malaysia

Geng Auto Macai tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun bersenjata Geng Auto Macai dengan menahan lapan lelaki warga tempatan yang aktif jenayah samun dan pecah kedai di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kumpulan tersebut telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menyasarkan bengkel membaiki kenderaan dan kedai barangan perkakasan.

“Modus operandi mereka adalah menggunakan van atau kereta pacuan empat roda (4WD) yang dicuri terlebih dahulu untuk pergi menyamun di lokasi yang telah dikenal pasti. Selalunya akan dilakukan di kawasan industri atau premis-premis.

“Jika ada kenderaan di premis yang dipecah masuk, mereka akan curi pula kenderaan itu dan kenderaan yang digunakan sebelum itu akan ditinggalkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 32 hingga 46 tahun itu ditahan di sekitar Kepong, Seri Kembangan, Setapak dan Cheras pada 5 Februari hingga 8 Februari lalu.

Samsor menambah, polis telah merampas tujuh van jenis Nissan, dia buah 4WD jenis Mitsubishi Triton dan Ford Ranger berserta kereta jenis BMW, Proton Iswara dan Nissan Almera.

“Polis juga telah merampas pelbagai peralatan digunakan untuk pecah kedai, senjata seperti parang, alat ganti kereta, minuman keras dan juga serbuk minuman.

“Barangan berkenaan dirampas di sekitar Segambut, Kepong dan Kuala Selangor,” ujarnya.

Kesemua tangkapan direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, 457 dan 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN