SEREMBAN 3 Feb. – Bekalan makanan harian sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini adalah mencukupi.
Malah, ia dijual dengan harga berpatutan menerusi program Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Muslim Manja berkata, sehingga kini, bekalan makanan seperti ikan, udang, telur dan sayur-sayuran mampu menampung permintaan.
Katanya, sejak program jualan itu dilaksanakan mulai Khamis lalu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan atau harga mahal dari pasaran.
“FAMA memberi jaminan bahawa bekalan makanan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di pasar tani adalah berpatutan, terkawal serta kompetitif.
“Kami juga akan memastikan para peniaga pasar tani tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan menjalankan pemantauan secara berterusan,” katanya selepas majlis perasmian Jualan Jimat Belanja Tahun Baharu Cina 2019 di Pasar Tani Paroi Jaya di sini hari ini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon. – UTUSAN ONLINE











